Gerhana paling lama
PEMINAT astronomi pastinya gembira menyaksikan fenomena luar biasa gerhana mata hari yang berlaku hari ini.
Fenomena sekali dalam tempoh beratus-ratus tahun ini bagaimanapun hanya dinikmati oleh sebahagian penduduk dunia sahaja. Gerhana berkenaan hanya melintasi rantau India dan China sahaja.
Ia berbeza dengan gerhana matahari biasa seperti yang berlaku pada 26 Januari lalu. Ketika itu ia dapat dilihat oleh rakyat negara ini walaupun ia lebih jelas di selatan Sarawak yang terasa jalur gerhana tersebut.
Bagaimanapun sebahagian besar kawasan negara ini berada dalam keadaan gelap pada sebelah petang. Lebih 80 peratus permukaan matahari tidak dapat dilihat di Semenanjung sementara di Sabah dan Sarawak, kegelapan adalah 95 peratus.
Gerhana jenis ini digelar gerhana tahunan. Ia berlaku dalam jarak waktu yang pendek, seperti selang satu atau dua tahun, akan muncul gerhana jenis ini.
Apa yang akan berlaku pada pertengahan pagi ini ialah terjadinya gerhana yang agak lama berbanding dengan yang berlaku pada setiap tahun. Gerhana matahari bermakna situasi bulan berada di antara bumi dan matahari. Ketika itu bumi tidak dapat menerima sinarannya kerana saat itu bulan menghalang sinaran matahari sampai ke bumi. Gerhana akan berlaku apabila bayang matahari kelihatan selama 6 minit 39 saat mengikut kiraan ahli astronomi.
Gerhana matahari akan kelihatan saat fajar menyingsing di Teluk Khambhat, utara Mumbai, India. Kemudian bayangan gerhana akan bergerak ke arah timur menyeberangi kawasan India, Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan, dan China sebelum berakhir di Samudra Pasifik.
Gerhana ini juga akan melintasi beberapa pulau di wilayah selatan Jepun dan terlihat terakhir kali dari Pulau Nikumaroro yang terletak di Pasifik Selatan. Salah satu daerah yang paling baik untuk menyaksikan peristiwa ini adalah seluruh kota Shanghai dan pulau-pulau di bahagian selatan Jepun yang akan tertutup oleh kegelapan pada siang hari.
Sebelum ini gerhana total matahari pernah terjadi pada bulan Ogos 2008 tetapi tempohnya adalah selama 2 minit dan 27 saat.
Satu lagi peristiwa gerhana penuh di Malaysia akan berlaku pada 20 April 2042 dan hanya Sarawak dan tidak Malaysia Barat akan dapat melihatnya. Kemudian kita kena tunggu 40 tahun lagi selepas tahun 2042 untuk melihat gerhana penuh persisnya pada 24 Ogos 2082.
Itu sebabnya orang mengatakan hanya sekali dalam hayat hidup seseorang itu boleh melihat fenomema gerhana matahari total. Tetapi bagi gerhana total yang begitu lama seperti yang terjadi hari ini, akan berulang semula dalam tempoh beratus tahun lagi sebelum terjadi lintasan bulan antara bumi dan matahari.
Ramai peminat mencari tempat khas bagi menyaksikan fenomena alam semesta unik ini. Bagi para ilmuwan pula mereka akan mengesan data daripada gerhana matahari ini sebagai acuan untuk membantu menjelaskan apa-apa saja struktur dari matahari dan mengapa timbul ledakan di permukaannya. Para ahli astronomi berharap gerhana dapat menyingkap sejumlah petunjuk tentang matahari.
Sayang, kali ini gerhana matahari penuh dan lama ini tidak dapat dilihat sepenuhnya di Malaysia kerana sebahagian saja piringan matahari yang tertutup dek bayangan bulan.
Cuma 45 peratus akan diliputi pada pertengahan pagi. Jutaan rakyat India, China dan Hawaii akan bernasib baik menikmati jalur gerhana sepenuhnya yang berlaku pada abad ke-21 ini.
No comments:
Post a Comment