NOKIA melangkah setapak lagi dalam perkembangan dimensi penghasilan telefon bimbit apabila memperkenalkan rekaan premium model terbarunya, Nokia 8800 Carbon Arte.
Selain mengetengahkan prestasi tanpa kompromi, model tersebut dibangunkan dengan rekaan eksklusif melalui kejuruteraan berasaskan gabungan material tulen seperti gentian karbon, titanium, kaca dan juga besi tahan karat.
Penggunaan gentian karbon yang sangat ringan dan kukuh dalam pembangunannya jelas memberi ekspresi rekaan yang kemas dan berteknologi tinggi selain mengetengahkan corak tiga dimensi.
Berinspirasikan penggunaan material tersebut dalam bidang seni bina, kereta lumba dan angkasa lepas, Nokia 8800 menawarkan implementasi rasa dalam bentuk ton yang unik, tekstur dan juga penghasilan ukiran.
Bagi mengekalkan fungsi tradisional dan meningkatkan nilai kualiti pada telefon bimbit berkenaan, setiap sudut reka bentuknya dihasilkan dengan penuh teliti dan terperinci.
Antara sudut yang dititikberatkan adalah seperti permukaannya, mekanisme gelongsor, berat dan juga ciri-ciri seni seperti runut bunyi dan wallpaper eksklusif.
Menerusinya, pengguna juga boleh menyentuh permukaan besi di bawah skrin paparan telefon bimbit berkenaan untuk membolehkan jam dipamerkan selain berlaku pertukaran imej secara automatik di siang hari.
Dari segi aplikasi pula, Nokia 8800 dilengkapi dengan fungsi 3G, kamera fokus automatik 3.2 megapiksel, audio berkualiti tinggi, sambungan USB mikro semua dalam satu serta memori binaan dalam sehingga empat gigabait(GB).
Apa yang menarik, permukaannya disaluti dengan lapisan anti cap jari untuk mengelakkan sebarang kotoran melekat pada bahagian metal ataupun gelas.
Bagi memberi pengalaman yang lebih menyeronokkan, ia turut menawarkan aksesori tambahan eksklusif seperti set kepala Bluetooth dengan kawalan suara sentuhan sensitif, alat sokongan meja bergaya, dan juga bekas kulit yang menarik.
Nokia 8800 kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga pengenalan RM5,688
No comments:
Post a Comment