Wednesday, November 26, 2008

Papan Hitam Elektronik

PENDIDIKAN zaman dahulu memerlukan guru menggunakan kapur dan papan hitam sebagai medium untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

Teknik tersebut mengalami pembaharuan apabila papan putih dan pen marker diperkenalkan sebagai pendekatan pengajaran yang lebih moden dan mudah.

Namun, pernahkah anda membayangkan bahawa papan hitam yang pernah digunakan dahulu, kini mampu berfungsi untuk tujuan lebih dari sekadar menulis.

‘Papan hitam’ yang dimaksudkan adalah sebuah skrin interaktif yang menawarkan gabungan pelbagai aplikasi seperti tulisan, visual dan juga bunyi.

Kemajuan tersebut telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat penyelesaian teknologi pendidikan, E-One Technology Sdn. Bhd.

Dengan skrin luas bersaiz 36, 42, 48, 56 dan 65 inci, ia boleh digunakan untuk paparan secara menegak atau pun melintang kepada audiens seramai lebih kurang 40 orang.

Selain didatangkan dengan skrin beresolusi tinggi, aplikasi skrin sentuh pada produk tersebut juga membolehkan pengguna mencapai fail atau mengakses sambungan Internet hanya melalui sentuhan mudah.

Untuk menulis atau memasukkan input pula, pengguna perlu menggerakkan jari pada permukaan skrin dan menyentuh hanya satu butang untuk memadamnya.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Johnson Lew, produk yang mudah dikendalikan ini mampu menggantikan fungsi projektor yang sering kali mengalami masalah seperti kurang cahaya atau mempunyai bayangan pada tulisan.

‘‘Selain digunakan untuk tujuan pendidikan, ia juga boleh diimplementasikan di pejabat-pejabat untuk sesi taklimat atau mesyuarat,’’ katanya pada Pameran dan Persidangan MyBroadband 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan menggunakan perisian Accupresenter, skrin unik itu juga dilengkapi dengan kamera web yang dapat merakam sesi pengajaran ketika di dalam kelas.

Kandungan video tersebut kemudiannya boleh dimuat naik ke pelayan internet untuk rujukan para pelajar.

Apa yang menarik, skrin berkenaan menawarkan paparan yang jelas tanpa gangguan sebarang pantulan serta permukaannya bersifat tidak mudah calar dan tahan lasak.

Selain aplikasi multimedia, skrin tersebut turut dilengkapi dengan beberapa perisian asas untuk kemudahan pendidikan seperti Microsoft Office.

Produk yang dibangunkan di Taiwan ini bakal dipasarkan pada harga permulaan RM20,000.

No comments: