Pada saiz sebesar 245 x 120 x 19.8mm dan berat 594 gram, tidak keterlaluan jika Vaio P dikatakan komputer paling ringan pernah dihasilkan.
SONY telah merealisasikan impian golongan yang gemarkan gajet digital dengan memperkenalkan komputer mini terbarunya, Vaio P. Ketika Apple berbangga dengan Macbook Air mereka pada tahun lalu, Vaio P dijangka mampu memikat pengguna yang gemarkan platform Windows.
Bukan sahaja saiznya yang begitu kecil (245 x 120 x 19.8mm), ia juga ringan dengan berat 594 gram. Tidak keterlaluan jika ia dikatakan komputer paling ringan pernah dihasilkan. Ia boleh dimuatkan dengan mudah ke dalam beg pinggang, beg tangan wanita malah ia juga boleh diselitkan ke dalam poket belakang seluar jean seperti mana dompet lazimnya dibawa. Bagi membuktikan fakta ini, Sony menggunakan seluar jean Levi's sebagai usaha mempromosikan Vaio P mereka.
Bagi gajet sekecil ini, biasanya papan kekunci akan menjadi 'mangsa' keadaan dan keselesaan menaip terpaksa dikorbankan. Namun tidak bagi Vaio P. Jarak antara kekunci dikekalkan bagi mengekalkan ketepatan ketika menaip. Untuk tujuan itu, pad sesentuh juga tidak diwujudkan bagi mengelakkan permukaan hadapan yang tidak seimbang.
Seperti produk Vaio yang lain, Vaio P masih mengekalkan kualiti materialnya. Selain binaan yang tampak kemas, ia turut kelihatan meyakinkan khususnya bagi pengguna yang agak lasak. Hamparan kekunci dan mekanisme penutupnya turut menggambarkan Sony tidak melupakan aspek ketahanan gajet keluaran mereka.
Namun, bagi pengguna yang telah biasa menggunakan komputer riba yang bersaiz agak besar, pastikan anda menggunakan Vaio P ini pada permukaan yang rata kerana ia kekurangan ruang rehat untuk pergelangan tangan dan mudah terjongket ke belakang. Secara peribadi, penulis tidak akan memilih warna hitam sekiranya berniat untuk memiliki komputer mini itu kerana bekas cap cari akan mudah kelihatan bertompok pada permukaan yang gelap.
Dari segi keupayaan pula, Vaio P hanya menawarkan dua port USB, pembaca Memory Stick dan juga SD-Card. Sekiranya anda menggunakan storan format lain seperti CF-Card, anda perlu mendapatkan pembaca kad memori USB. Bagi sambungan rangkaian setempat (LAN) dan port VGA, anda memerlukan port replicator bagi tujuan itu kerana Vaio P lebih menitikberatkan penggunaan rangkaian tanpa wayar (WiFi).
Bagi golongan yang kurang selesa membaca tulisan yang agak kecil dan tidak berpuas hati menonton video pada skrin yang kecil, Vaio P mungkin bukan pilihan anda. Ini kerana skrinnya hanya bersaiz lapan inci. Untuk melayari Internet, anda mungkin terpaksa menggunakan fungsi pembesar pada pelayar Internet Explorer bagi membesarkan tulisan.
Menurut Sony, aspek kelebaran skrin model Vaio itu boleh menempatkan dua tetingkap aplikasi yang dibuka bersebelahan. Secara teorinya, skrin bersaiz 1600 x 768 piksel sudah mampu melakukan tugasan ini. Bagaimanapun, secara realitinya penulis terpaksa mengubah sedikit saiz font pada dokumen Word yang dibuka secara manual bagi membolehkan dua tetingkap dibuka sekali gus.
Sony Vaio P didatangkan dalam dua versi iaitu 1.33GHz dengan cakera keras bersaiz 60GB dan 1.6GHz dengan 64GB ingatan jenis solid state (SSD), jenis storan yang digunakan dalam thumbdrive yang biasa kita gunakan. Ia mengambil sekitar satu minit lebih sebelum ia dapat memasuki sistem operasi Windows Vista dengan RAM 2GB. Pastinya pemilihan Windows Vista untuk gajet dengan spesifikasi sebegini merupakan pilihan yang kurang sesuai kerana umum mengetahui keperluan minimum Windows Vista bagi membolehkan ia beroperasi dengan lancarWalau apa pun, Vaio P berjaya membuktikan komputer hari ini telah melalui satu lagi era baru. Jika sebelum ini hanya telefon pintar atau PDA sahaja boleh dimuatkan ke dalam kocek tetapi dengan pengkomputeran yang agak terhad, Vaio P telah membuktikan komputer juga boleh duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan gajet-gajet digital lain dengan keupayaan pengkomputeran yang lebih baik berbanding pesaingnya
No comments:
Post a Comment