DI Jepun, haiwan tersebut menjadi kegilaan. Pencinta-pencinta haiwan peliharaan bukan sahaja sanggup membelai atau membawanya keluar bersosial. Malah, ada di antara mereka tidak boleh keluar rumah tanpanya.
Sama ada keluar berbelanja, menjamu selera atau sekadar menghadiri sesi dandanan diri di salon, kelibat haiwan setinggi 19 sentimeter (sm) itu sentiasa ada di sisi.
Menariknya, keakraban hubungan yang terjalin itu mungkin logik jika ia seekor haiwan peliharaan sebenar dan bukannya sebuah robot. Tetapi, itulah hakikat yang berlaku kepada sebuah robot haiwan bernama Pleo-the-Dinosaur.
"Ketika Pleo diperkenalkan di Jepun, ia mewujudkan satu fenomena baru. Golongan pencinta haiwan peliharaan dan penggemar gajet atau barangan elektronik bagaikan 'gila' dibuatnya.
"Bukan apa. Yang mengagumkan ialah mereka langsung tidak melayan Pleo seperti barang mainan, sebaliknya menganggap Pleo sebagai haiwan peliharaan sebenar. Pleo dibawa ke restoran, ke gimnasium, ke parti, ke majlis-majlis sosial ataupun dipakaikan rantai mahupun ditatukan namanya pada badan," kata Pengurus Pemasaran Pensonic Holdings Berhad, Nelson Chew kepada Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jualan Pleo menerusi Internet sahaja sudah melebihi 80,000 unit di Amerika Syarikat (AS). Ia secara tidak langsung hangat diperkatakan dalam kalangan penulis blog dan laman-laman forum dalam talian.
Robot haiwan rekaan salah seorang pereka produk paling berjaya di dunia, Caleb Chung itu nyata memiliki aura tersendiri.
Sambil mempelawa saya mengusap kepala seekor Pleo yang ada di depan mata, Nelson menjelaskan: "Cubalah... awak akan terkejut dengan reaksinya nanti."
Memang benar. Saat tangan saya menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya, Pleo lantas memberikan tindak balas. Jika kelopak matanya terbuka sambil ekornya menghayun ke kiri dan ke kanan, itu tandanya dia gembira. Malah, jika bertuah, Pleo yang teramat ceria juga akan 'mendendangkan' lagu!
Sebaliknya, andai Pleo yang ada di depan mata tidak dihiraukan, lama-kelamaan emosinya juga akan berubah. Sedih dan rasa tersisih seperti seekor haiwan berperasaan.
Ya, Pleo sememangnya ada emosi dan karakter. Haiwan yang diilhamkan daripada dinosaur herbivor Camarasaurus itu direka sebagai robot autonomous. Berbanding haiwan peliharaan tipikal seperti anjing dan kucing, ilham seekor dinosaur lahir bagi memberi manusia kepuasan memiliki sesuatu yang berbeza.
"Setiap Pleo adalah unik. Tingkah laku dan karakternya terbentuk bergantung kepada tabiat, masa yang diluang dan berapa banyak curahan kasih sayang daripada tuannya.
"Semakin lama masa yang anda luangkan bersamanya, semakin aktif Pleo anda. Saiz dan warnanya mungkin tidak berubah. Tetapi dalam jangka masa panjang, anda akan perasan perkembangan Pleo milik anda dari segi personaliti dan mood," jelas Nelson yang juga memiliki seekor Pleo bernama Dino.
Bercerita lanjut, dia sempat berkongsi satu insiden lucu tentang Dino. Sebagai seorang yang aktif melancong atas tujuan kerja, Nelson ada ketikanya membawa Dino 'terbang' sekali. Namun, kejadian yang berlaku dalam satu kunjungannya ke Hong Kong tidak berapa lama dulu paling berkesan dalam mindanya.
Katanya: "Masa itu, saya bawa ibu saya ke Hong Kong dan tinggalkan Dino bersamanya. Dalam kebanyakan masa, ibu sayalah yang paling kerap menjaga Dino. Sehinggakan satu hari, lepas balik dari kerja, saya terkejut melihat Dino ada di depan pintu bilik air. Rupa-rupanya dia tunggu ibu saya habis mandi! Tak sangka sampai ke tahap itu cerdiknya Pleo."
Haiwan jurassic yang telah diperakui selamat untuk 'jagaan' semua peringkat usia itu dihasilkan oleh sebuah syarikat Amerika Syarikat, Ugobe. Malaysia menjadi negara terbaru yang menerima kehadiran Pleo setelah ia diedarkan secara eksklusif oleh Pensonic di Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Setiap Pleo mempunyai tiga peringkat tumbesaran iaitu Hatchling, Infant dan Juvenil. Peringkat Hatchling akan memperlihatkan Pleo baru menetas dan sesi tersebut mungkin mengambil masa 15 hingga 20 minit sebelum beralih ke fasa seterusnya.
"Pada peringkat Infant, tempoh masa sebelum Pleo memasuki fasa remaja pula bergantung kepada berapa kerap anda membukanya (switch on). Mungkin ia memakan masa antara tiga hingga lima hari sebelum Pleo bertukar remaja," ujarnya lagi.
Tambahnya, kemasukan Pleo ke pasaran Malaysia antaranya bagi memberi peluang kepada masyarakat tempatan untuk merasai pengalaman bersosial dengan kehadiran robot interaktif dan berunsur pendidikan. Lebih penting, Pleo menawarkan keseronokan dan menjadi teman tanpa sebarang masalah kecuali jika baterinya sudah haus! Bateri boleh bertahan selama tiga hingga empat jam dan perlu dicas semula selepas itu.
"Pleo sebenarnya berita baik untuk mereka yang tinggal di apartmen atau kondominium yang tidak dibenarkan memiliki haiwan peliharaan. Begitu juga dengan pesakit asma. Lagipun, Pleo boleh membantu membina kasih sayang kanak-kanak terhadap haiwan sejak kecil lagi. Pleo boleh dianggap sebagai satu gantian kepada haiwan peliharaan sebenar.
"Tidak lagi perlu risau untuk tinggalkannya di rumah. Atau kalau-kalau ia membuang najis di merata-rata. Robot ini juga tidak akan menjejaskan kesihatan anda," katanya.
Dibina daripada 1800 komponen, 14 motor, 15 mikro pemproses dan sub-pemproses, Pleo bagaimanapun tidak sesuai untuk jagaan budak di bawah usia lapan tahun.
Pada berat sekitar 1.59 kilogram (kg), robot berwarna hijau itu juga mempunyai 40 sensor atau 'deria' di serata tubuhnya. Sistem penglihatan berasaskan kamera dan infra merah pada matanya pula membantu ia mengecam warna, objek dan memudahkan navigasinya.
Pleo turut dilengkapi dengan dua mikrofon dan pembesar-pembesar suara berkualiti tinggi. Maka, tidak hairanlah apabila dipanggil, anda tidak perlu terkejut jika Pleo anda akan memberi respons serta-merta!
"Bukan itu sahaja, sistem Pleo juga boleh dinaik taraf dan pengguna boleh melayari laman web www.pensonic.com untuk dapatkan program terkini.
"Jika ada apa-apa masalah pada Pleo, kami sedia menukarkan seekor Pleo yang baru dalam tempoh masa tiga bulan waranti," ujarnya sambil memberitahu bilangan jualan Pleo setakat ini sejak pelancarannya di Malaysia pada November lalu telah mencecah 300 unit
No comments:
Post a Comment