Monday, June 16, 2008

Rencana Utusan 1


Hari Bapa 15/06/2008 bukan sekadar hadiah


APA ada pada Hari Bapa jika kita menyambutnya sekadar membawa bapa makan besar di hotel lima bintang atau menghadiahkan mereka barangan berjenama tanpa menjiwai erti sebenar kedudukan dan peranan bapa dalam konteks keperluan masyarakat dan negara kita hari ini?
Dalam masa yang sama, sejauh mana pula 'hadiah' atau sumbangan golongan bapa terhadap keluarga, masyarakat dan negaranya?
Adakah makin robohnya dinding moral dan akhlak anak-anak sekarang; kurangnya kesedaran sivik rakyat walaupun galak mahu muncul sebagai bangsa maju di dunia; tipisnya semangat nasionalisme warga serta sikap pasif rakyat kita dalam berhadapan dengan pelbagai perkara yang mencabar haknya - semuanya berkait rapat dengan kegagalan golongan bapa di Malaysia menjalankan tanggungjawab sebenar mereka?
Walhal, sejarah telah membuktikan kegemilangan tamadun-tamadun awal dunia serta kebangkitan mengumpul kekuatan tenaga dan akal membina negara bangsa datangnya daripada pengorbanan golongan bapa.
Usaha memerangi kuasa penjajah Barat serta ancaman komunis di tanah air ini, gerakan Sumpah Pemuda 1928 seterusnya kemerdekaan di Indonesia pada 1945 serta tertegaknya Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949 adalah antara contoh betapa besarnya jasa, tanggungjawab dan peranan bapa yang jauh melangkaui sempadan keluarga sendiri sahaja.
Oleh itu, angkatan bapa kita kini perlu bermuhasabah diri menilai semula sejauh mana peranan mereka terhadap keluarga, masyarakat dan satu-satunya tanah tumpah darah kita ini dalam era yang jauh berbeza berbanding dahulu.
Sebagai tapak kestabilan bangsa Malaysia, institusi keluarga harus diberi perhatian terlebih dahulu agar setiap orang anak yang dibesarkan memberi manfaat mengikut kebolehannya bukannya penambah beban kepada masyarakat kita kelak.
Malangnya, ramai golongan bapa hari ini menyerahkan tugas mendidik anak kepada para ibu atau pihak sekolah dengan terlalu memanjakan anak sehingga anak 'naik lemak'.
Sepatutnya, rasa sayang bersulamkan ketegasan dalam mendidik anak perlu diamalkan dengan anak-anak lelaki diajar agar lebih bertanggungjawab dan berpandangan jauh, manakala anak- anak perempuan pula diasuh supaya berfikir sebelum bertindak.
Ini perlu agar tidaklah nanti mereka hanya tahu membuang masa, berlumba motor, menagih dadah, melahirkan anak luar nikah atau menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Selain memenuhi keperluan asasi keluarga, golongan bapa di negara ini harus lebih berani berada di barisan hadapan dengan kritikal menyuarakan hak dan kepentingan masyarakatnya.
Mereka juga adalah ejen utama sosialisasi nilai akauntabiliti dan jati diri patriotisme kepada keluarga dan bangsa. Jika tidak, tentu tidak wujud gelaran Bapa Kemerdekaan, Bapa Pembangunan, Bapa Perpaduan dan Bapa Kemajuan seperti yang diberi kepada para mantan Perdana Menteri kita.
Persoalannya, wajarkah golongan bapa hari ini diberi penghargaan melangit sempena Hari Bapa jika hanya tahu memenuhkan restoran mamak hingga lewat malam sambil bersorak menonton siaran Euro 2008 tanpa mengambil peduli pelbagai cabaran dan resah gelisah yang sedang dan akan menimpa keluarga, masyarakat dan negaranya?

Monday, June 2, 2008

Sunday, June 1, 2008