Thursday, December 4, 2008

Fizik air mata

BANYAK yang boleh berubah dengan hanya satu kerlipan mata. Bahkan, seluruh lapisan permukaan mata anda berubah setiap kali anda mengerlip mata.

Dalam kira-kira suku saat, cecair mata merembes mata. Ia akan menyapu permukaan lalu meninggalkan lapisan baru yang nipis, sementara selebihnya dialirkan. Walaupun sistem ini mungkin kedengaran mudah, secara fizik, ia agak rumit. Saintis kini menggunakan model komputer matematik untuk cuba memahami bagaimana cecair bergerak di dalam mata dan menjadi air mata.

"Alasan mengapa kami berminat untuk mengkaji ini ialah kerana ia merupakan sistem yang sangat dinamik," kata Kara Maki pengkaji dari University of Delaware, Amerika Syarikat. "Jika kita boleh memahami dan memperoleh intipati mengenai filem air mata dinamik, kita mungkin boleh mengetahui rawatan yang lebih baik untuk mata yang kering.

Maki dan penasihatnya, Richard Braun, baru-baru ini telah menggunakan model komputer dan menemukan bahawa air mata boleh berada di tengah mata, tidak hanya sekadar bergenang di kelopak mata, seperti tanggapan terdahulu kebanyakan pakar.

Lapisan permukaan mata kebanyakannya diperbuat daripada air serta berguna untuk memelihara mata daripada debu dan bahan cemar dalam udara. Biasanya, filem ini tersimpan pada paras yang stabil secara relatif, dengan cecair air mata yang baru ditumpahkan dari kelenjar pada kelopak mata berdekatan dengan pelipis mata, sementara cecair yang berlebihan mengalir ke dalam hidung. Apabila kita mengerlip mata, lapisan ini kembali terisi.

"Setiap kali anda mengerlip mata, ia seperti berus lukisan yang menggerakkan cecair ini ke sekitar lalu membentuk lapisan cecair seperti salutan cat pada dinding," kata Braun kepada LiveScience.

Tetapi, apabila kita berasa sangat sedih, sejuk atau menghiris bawang, sebagai contoh, terlalu banyak cecair akan membanjiri mata bagi menangani tekanan permukaan dan menitis keluar dalam bentuk titisan air mata. Kebanyakan pakar menjangka, air mata ini kekal berada di tepi mata di mana filem air matanya lebih tebal.

Dengan membina sebuah model yang mengambil kira tentang efek kelikatan, tekanan permukaan dan graviti, pengkaji mendapati sesetengah air mata kurang bergerak dan ada yang bergerak menerusi bahagian tengah mata.

"Kebanyakan orang fikir perkara ini berkaitan dengan halangan, yang mana air mata tidak dapat melintasi pertengahan mata," kata Braun.

Beliau juga mendapati jika terdapat cecair yang mencukupi di mata, air mata boleh melintasi bahagian tengah mata, berbanding hanya menetap di tepi mata. Ia sesuatu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Penemuan tersebut kelihatan selari dengan observasi dari Kolej Optometri Ohio State University mengenai seorang lelaki yang membiarkan matanya dibuka selama enam minit. Bagaimanapun, pengkaji mahu menjalankan lebih banyak uji kaji untuk mengesahkan penemuan mereka

No comments: