Wednesday, December 1, 2010

Dugaan uji tahap keimanan manusia

Source : Mutiara Hati
Tajdid Iman Bersama Dr Juanda Jaya



Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabda Baginda bermaksud:

“Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, itu juga kebaikan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Semuanya baik, baik dan baik. Apa-apa yang Allah pilihkan untuk kita adalah baik. Apabila sakit ubatnya adalah senyum dan reda.

Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas’ud apabila ditanya: “Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?” Beliau menjawab: “Bukankah Allah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?”

Orang banyak mengatakan: “Bahagia itu adalah kepuasan hati.” Tetapi, pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana dia berada di dunia, pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kaya, cantik, sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah terpenuhi dengan sempurna.

Selamilah dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat reda. Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka.

Sesungguhnya apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah lebih mengetahui apa yang ’sesuai’ untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha Sempurna aturan-Nya, yang suci daripada cacat cela atas segala pentadbiran-Nya. Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tetapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras, hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan reda atas ketentuan-Nya.

Firman Allah:
“Allah pun reda ke atas diri mereka dan mereka pun reda dengan pemberian-Nya.” (Surah Al-Bayyinah, ayat 8.)



Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu.

Pertama, ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal, tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat paling berharga.

Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang di antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan reda ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang.

Tetapi, mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari-hari ketika sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini.

Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat reda. Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong . Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia. Tetapi, bukan bahagia yang ‘diam’ dalam hati, ia cuma menempel sebentar pada dinding hati kemudian lenyap begitu cepat.

Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah reda. Cukup senang formulanya, tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.

No comments: