Thursday, November 27, 2008

Perunding kewangan adil.

Bagaimanakah penasihat kewangan dapat membantu pengguna membuat keputusan yang betul sebelum menandatangan perjanjian
MEMBELI rumah melibatkan satu keputusan yang besar. Ia boleh mengubah kehidupan seseorang, terutama dari sudut tanggungjawab kewangan, sosial dan status.
Seringkali, proses mencari dan memilih pakej pembiayaan yang tepat menjadi suatu yang cukup memenatkan.
Pembeli rumah perlu mengetahui bahawa terdapat banyak tafsiran berbeza tentang pelbagai pakej pinjaman perumahan yang terdapat di pasaran. Kurang pemahaman dalam bidang ini boleh membawa padah.
Keputusan yang tepat dapat menjimatkan ribuan ringgit. Sebaliknya jika tersilap langkah pembeli mungkin terjebak dalam kekangan kewangan yang panjang dan memeritkan sebelum dapat memiliki rumah yang dimahukan.
Pembeli perlu membuat tinjauan dan perbandingan ke atas produk pinjaman yang terdapat di pasaran sebelum memilih institusi pembiaya.
Mendapatkan penyelesaian yang menepati setiap keperluan bukanlah satu proses yang mudah.
Dengan beraneka istilah dan singkatan daripada lebih 500 pakej yang ditawarkan oleh lebih 30 pemberi pinjaman, seorang yang bijak mengendalikan wang juga mungkin keliru.
Bagi orang kebanyakan yang tiada atau kurang pengetahuan mendalam tentang teknik dan selok-belok kewangan, menentukan yang terbaik antara timbunan maklumat yang dikumpulkan merupakan tugas yang mencabar.
Sebenarnya, ramai di antara kita yang akan menyambut baik khidmat nasihat mereka yang arif sebelum menandatangani dokumen perjanjian jual beli rumah.
Bantuan berada di hujung jari
Perkhidmatan sedemikian boleh didapati dengan mudahnya. Diperbadankan pada 16 Oktober 2002, Capital Tree Sdn. Bhd. (Money3) menyediakan maklumat terkini mengenai semua pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini.
"Pinjaman perumahan adalah komitmen kewangan yang boleh mengubah sepenuhnya kedudukan kewangan seseorang. Beban pinjaman perumahan akan menentukan bagaimana seseorang harus mengurus kewangan peribadi seterusnya," kata Rakan Kongsi Kanan Money3, Martin Chow kepada Bernama.
Menurut Chow, peminjam biasanya hanya mengambil kira kedudukan kewangan semasa.
Realitinya, tiada kedudukan kewangan yang kekal selamanya. Sehubungan itu, sesuatu keputusan kewangan yang penting perlu dibuat berdasarkan pertimbangan jangka sederhana dan jangka panjang. Ini bagi mengelakkan peminjam tidak dibebani masalah kewangan pada masa akan datang.
Pada masa sekarang, selagi amaun pembayaran balik bulanan tidak melebihi sejumlah peratus pendapatan bulanan yang ditentukan oleh pemberi pinjaman, kebanyakan orang akan gembira menerima pinjaman yang ditawarkan.
"Acap kali peminjam tidak mengambil kira hal-hal luar jangka seperti kenaikan kadar pinjaman asas (BLR) pada masa hadapan, gangguan aliran tunai disebabkan situasi kecemasan yang tidak diduga atau kemungkinan hilang pekerjaan.
"Dalam kebanyakan kes, ramai yang tidak mengambil kira akan kesan pinjaman perumahan terhadap keupayaan mereka menabung bagi perbelanjaan masa depan seperti pendidikan anak-anak dan keperluan asasi seperti perubatan dan pembedahan," kata Chow.
Hakikatnya, perubahan yang kecil sekalipun akan memberi kesan yang ketara dalam lingkaran kehidupan seseorang.
Setiap orang perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan menyediakan pilihan penyelesaian yang praktikal.
Analisis bebas dan tidak memihak
Money3 adalah pakar dalam mencipta perisian komputer dan program kewangan sebagai alat untuk menganalisis pakej kewangan dan pinjaman serta perkhidmatan mengikut suasana ekonomi tempatan.Laman web Money3 di www.money3.com.my menyediakan saluran kepada pengguna untuk memohon pinjaman perumahan di samping menyediakan maklumat yang diperlukan secara percuma.
Laman web ini yang dikemas kini secara berkala, menyediakan maklumat yang bebas dan tepat. Ia seperti alat seperti mesin pengira untuk kemudahan pelanggan membuat kiraan dan membuat keputusan dalam memilih pakej yang terbaik mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Program Carian Pinjaman bertingkat dalam talian Money3 membolehkan pengguna menentukan apa yang dicari dalam pakej pinjaman perumahan.
Apabila semua butir-butir telah dimasukkan, sistem itu akan menapis setiap pakej pinjaman perumahan yang terdapat di negara ini. Mereka akan mengeluarkan analisis bebas dan tidak berat sebelah ke atas sepuluh pemberi pinjaman terpilih, berdasarkan butiran maklumat yang diberikan pengguna.
"Para perunding kami yang berpengalaman juga boleh memberi khidmat rundingan menerusi telefon atau secara bersemuka untuk merungkai keperluan pengguna bagi mendapatkan pilihan yang memenuhi kehendak, pada masa yang sama tidak menipiskan poket mereka," kata Chow.
Money3 bekerjasama erat dengan beberapa bank tempatan dan luar negara berhubung hal-hal pembangunan produk, kewujudan rangkaian jualan serta pengagihan dan sumber luar.
"Kami sedia maklum bahawa apabila lebih ramai orang menyedari keperluan memahirkan diri dalam perancangan kewangan peribadi, mereka akan menjadi pengguna yang lebih berkualiti.
Seterusnya, kecenderungan ke arah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) juga akan berkurangan.
Kesepakatan dan kerjasama yang bermakna ini telah menghasilkan satu pertukaran idea yang membuka ruang untuk pembangunan perisian kewangan progresif yang akan disertakan ke laman web Money3.
Liabiliti, dengan sedikit kepintaran, boleh diubah menjadi aset. Sebaliknya, aset jika dibiar menjadi buruk dan tidak diperbaiki boleh menjadi liabiliti.
Dalam
dunia kewangan peribadi yang sentiasa berubah, setiap pengguna berhak untuk mendapat perunding kewangan yang berpengetahuan, bersedia membantu dan tidak lokek memberi lebih nasihat.

Menentang Karbon Dioksida

AHLI-AHLI dari pertubuhan dunia Greenpeace melakukan demonstrasi menentang pengeluaran karbon dioksida, baru-baru ini. Mereka melakukan demonstrasi di hadapan menara penyejukan loji tenaga arang batu Staudinger di Grosskrotzenburg, Jerman yang terletak 30 kilometer dari Frankfurt.Karbon dioksida merupakan antara penyumbang utama kepada fenomena pemanasan global. Mengurangkan pengeluarannya boleh menangani masalah ini

Harga Melambung


Laptop BenQ

BENQ baru-baru ini menampilkan siri netbook pertamanya, Joybook Lite U101, yang dibangunkan bagi menepati keperluan generasi Internet. Hanya memiliki berat 1.1 kilogram, ia didatangkan dengan skrin penjimatan tenaga LED 10.1 inci.

Dengan kapasiti storan 160 Gigabait, papan kekuncinya lebih besar dan mesra pengguna dengan jangka hayat bateri lebih lama.

Istimewa juga, Joybook Lite U101 turut menampilkan corak plat muka ikon emosi di bahagian pelindung IMR bebas calarnya. Komputer netbook itu juga memiliki aksesori yang menepati gaya dan keperluan pengguna Internet bagi membolehkannya untuk dibawa ke mana saja.

Dengan berkonsepkan rekaan asas ikon-ikon emosi universal yang nampak lucu, ia adalah berteraskan pemahaman BenQ terhadap kekerapan generasi Internet menggunakan suntikan ikon emosi dalam menyokong komunikasi berasaskan teks. Ia bertujuan untuk menyerlahkan perasaan dan perbuatan bukan verbal secara lebih berkesan.

Rekaan luaran Joybook Lite U101 ini juga seakan memberi gambaran bahawa pemiliknya mempunyai cita rasa yang sukakan keseronokan!

Joybook Lite U101 adalah netbook pertama di pasaran yang mengetengahkan skrin penjimatan tenaga LED 10.1 inci, pada nisbah kelebaran 16:9. Dengan speaker binaan dalaman 1.5W dan kamera web 1.3 megapiksel, Joybook Lite U101 menawarkan generasi Internet dengan kepuasan multimedia memberangsangkan.

Ia boleh dipercayai dan tahan lama menerusi keupayaannya menampung tekanan berat sehingga 50 kilogram dan tahan lasak walaupun dijatuhkan pada ketinggian 76 sentimeter. Ia juga turut dilengkapi dengan prosesor Intel® Atom, Bluetooth 2.0, pembaca kad empat dalam satu dan GUI peribadi (turut didatangkan dengan netbook berasaskan platform Linux).

Joybook Lite U101 yang didatangkan dalam empat warna: hitam, biru, putih dan merah jambu itu ditawarkan pada harga RM1,799

Awas Kunci WiFi Anda!! Anda mungkin terpaksa bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan orang lain. Bahana pencerobohan WiFi


RANGKAIAN wayarles atau lebih popular dengan panggilan WiFi bukanlah suatu yang asing di negara kita.
Setelah lebih 12 tahun Internet diperkenalkan di Malaysia, bilangan pengguna rangkaian yang menggunakan frekuensi radio ini semakin bertambah.
Jika dahulu, WiFi hanya terhad kepada pengguna komersil seperti kafe eksklusif dan organisasi, kini ramai pengguna memasangnya di rumah bagi memudahkan mereka melungsuri Internet.
Namun masih ramai pengguna yang tidak melindungi rangkaian mereka dengan ciri keselamatan yang terdapat pada AP atau Access Point. Ini menyebabkan rangkaian tanpa wayar mereka terdedah kepada penjenayah siber - penipu, lanun siber dan pencuri maklumat.
Pernahkah anda terfikir, rangkaian anda yang tidak dikunci boleh digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti seperti menghantar emel ugutan, mencuri kata laluan perbankan dalam talian, menulis blog berunsur subversif serta menggodam laman web organisasi tertentu?
Lebih menakutkan lagi, jika pihak berkuasa mengesan alamat IP capaian Internet anda sebagai punca aktiviti jenayah yang dilakukan, menyebabkan anda menjadi 'pak sanggup' di atas kesalahan orang lain.
Ya!, anda berhadapan dengan risiko ini sekalipun tujuan tidak mengaktifkan ciri sekuriti pada rangkaian anda ialah bertujuan untuk berkongsi akses Internet dengan jiran-jiran anda. Ramai juga yang tidak melindungi rangkaian mereka kerana kekurangan pengetahuan teknikal.
Golongan tidak bertanggungjawab ini lazimnya akan menumpang rangkaian wayarles yang tidak dilindungi - secara automatik membolehkan mereka menyamar seolah-olah pengguna sah pemilik sesuatu rangkaian itu.
Ia tidak ubah seperti mencuri talian telefon, cuma bezanya pemilik tidak akan perasan kerana kebanyakan pengguna rangkaian ini merupakan pelanggan jalur lebar tanpa had.
Malah, catatan pada bil bulanan tidak menunjukkan sebarang penggunaan yang luar biasa.

Nokia 8800

NOKIA melangkah setapak lagi dalam perkembangan dimensi penghasilan telefon bimbit apabila memperkenalkan rekaan premium model terbarunya, Nokia 8800 Carbon Arte.

Selain mengetengahkan prestasi tanpa kompromi, model tersebut dibangunkan dengan rekaan eksklusif melalui kejuruteraan berasaskan gabungan material tulen seperti gentian karbon, titanium, kaca dan juga besi tahan karat.

Penggunaan gentian karbon yang sangat ringan dan kukuh dalam pembangunannya jelas memberi ekspresi rekaan yang kemas dan berteknologi tinggi selain mengetengahkan corak tiga dimensi.

Berinspirasikan penggunaan material tersebut dalam bidang seni bina, kereta lumba dan angkasa lepas, Nokia 8800 menawarkan implementasi rasa dalam bentuk ton yang unik, tekstur dan juga penghasilan ukiran.

Bagi mengekalkan fungsi tradisional dan meningkatkan nilai kualiti pada telefon bimbit berkenaan, setiap sudut reka bentuknya dihasilkan dengan penuh teliti dan terperinci.

Antara sudut yang dititikberatkan adalah seperti permukaannya, mekanisme gelongsor, berat dan juga ciri-ciri seni seperti runut bunyi dan wallpaper eksklusif.

Menerusinya, pengguna juga boleh menyentuh permukaan besi di bawah skrin paparan telefon bimbit berkenaan untuk membolehkan jam dipamerkan selain berlaku pertukaran imej secara automatik di siang hari.

Dari segi aplikasi pula, Nokia 8800 dilengkapi dengan fungsi 3G, kamera fokus automatik 3.2 megapiksel, audio berkualiti tinggi, sambungan USB mikro semua dalam satu serta memori binaan dalam sehingga empat gigabait(GB).

Apa yang menarik, permukaannya disaluti dengan lapisan anti cap jari untuk mengelakkan sebarang kotoran melekat pada bahagian metal ataupun gelas.

Bagi memberi pengalaman yang lebih menyeronokkan, ia turut menawarkan aksesori tambahan eksklusif seperti set kepala Bluetooth dengan kawalan suara sentuhan sensitif, alat sokongan meja bergaya, dan juga bekas kulit yang menarik.

Nokia 8800 kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga pengenalan RM5,688

Terapi Untuk Kanak-Kanak

PENDEKATAN berkonsepkan terapi minda, jiwa dan jati diri adalah modul program terbaru yang diketengahkan Annabella House of Therapy (AHT) dengan kerjasama Creative Resource Management (CRM). Ia sebagai usaha dalam membantu para pelajar supaya mencapai lebih kecemerlangan dalam pelajaran.
Menerusinya, pelajar dapat mengenali kelemahan diri dan minda kerana program ini akan menyelongkar serta memperbaiki aura negatif individu menerusi teknik yang digunakan.
Pengarah urusan AHT, Shamsilawati Abd. Rahman berkata, pendekatan unik yang digunakan ini bertujuan memberi peluang pelajar mengenali kelemahan diri serta belajar cara-cara bagaimana mengatasinya untuk lebih fokus mencipta kejayaan.
Menurutnya, gabungan minda, jiwa dan motivasi disatukan bagi mewujudkan impak positif bukan saja bagi tujuan peningkatan akademik namun kualiti kehidupan seharian.
“Keunikan program ini ialah ia menggabungkan beberapa elemen yang bukan saja boleh membantu seseorang itu mengetahui aspek kelemahannya malah memperbaiki kekurangan itu ke arah yang lebih baik.
Pelajar juga boleh menilai potensi diri sendiri kerana akan didedahkan dengan suasana positif minda, emosi, fizikal dan jiwa. Ia bukan sahaja memberi penekanan terhadap satu aspek tapi keseluruhan dengan sasaran utama memperbaiki pencapaian diri dan membina kecemerlangan,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, katanya, program ini juga mewujudkan rasa fokus pada pelajaran dan kehidupan serta melihatnya dalam konteks yang lebih luas untuk masa depan.
Program ini akan menjadikan diri pelajar lebih luas untuk masa depan. Program ini akan menjadikan diri pelajar lebih hebat kerana berupaya meningkatkan keyakinan diri, mencipta kreativiti, memperbaiki komunikasi serta meningkatkan semangat juang yang tinggi.
Program dua hari satu malam ini akan diadakan pada awal Disember depan dan penyertaan terhad kepada 100 peserta sahaja.
Pelajar juga berpeluang berkongsi masalah dengan tenaga pengajar berpengalaman menerusi luahan terapi berbentuk lukisan dan lakaran.
Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi talian 03-87361031 atau 019-2191202.

Wednesday, November 26, 2008

Papan Hitam Elektronik

PENDIDIKAN zaman dahulu memerlukan guru menggunakan kapur dan papan hitam sebagai medium untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

Teknik tersebut mengalami pembaharuan apabila papan putih dan pen marker diperkenalkan sebagai pendekatan pengajaran yang lebih moden dan mudah.

Namun, pernahkah anda membayangkan bahawa papan hitam yang pernah digunakan dahulu, kini mampu berfungsi untuk tujuan lebih dari sekadar menulis.

‘Papan hitam’ yang dimaksudkan adalah sebuah skrin interaktif yang menawarkan gabungan pelbagai aplikasi seperti tulisan, visual dan juga bunyi.

Kemajuan tersebut telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat penyelesaian teknologi pendidikan, E-One Technology Sdn. Bhd.

Dengan skrin luas bersaiz 36, 42, 48, 56 dan 65 inci, ia boleh digunakan untuk paparan secara menegak atau pun melintang kepada audiens seramai lebih kurang 40 orang.

Selain didatangkan dengan skrin beresolusi tinggi, aplikasi skrin sentuh pada produk tersebut juga membolehkan pengguna mencapai fail atau mengakses sambungan Internet hanya melalui sentuhan mudah.

Untuk menulis atau memasukkan input pula, pengguna perlu menggerakkan jari pada permukaan skrin dan menyentuh hanya satu butang untuk memadamnya.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Johnson Lew, produk yang mudah dikendalikan ini mampu menggantikan fungsi projektor yang sering kali mengalami masalah seperti kurang cahaya atau mempunyai bayangan pada tulisan.

‘‘Selain digunakan untuk tujuan pendidikan, ia juga boleh diimplementasikan di pejabat-pejabat untuk sesi taklimat atau mesyuarat,’’ katanya pada Pameran dan Persidangan MyBroadband 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan menggunakan perisian Accupresenter, skrin unik itu juga dilengkapi dengan kamera web yang dapat merakam sesi pengajaran ketika di dalam kelas.

Kandungan video tersebut kemudiannya boleh dimuat naik ke pelayan internet untuk rujukan para pelajar.

Apa yang menarik, skrin berkenaan menawarkan paparan yang jelas tanpa gangguan sebarang pantulan serta permukaannya bersifat tidak mudah calar dan tahan lasak.

Selain aplikasi multimedia, skrin tersebut turut dilengkapi dengan beberapa perisian asas untuk kemudahan pendidikan seperti Microsoft Office.

Produk yang dibangunkan di Taiwan ini bakal dipasarkan pada harga permulaan RM20,000.

Dr M : PPSMI (Utusan Malaysia 26 Nov 2008)

Ilmu terhad jika tidak dalami bahasa Inggeris - Dr. M

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Rakyat Malaysia dikhuatiri hanya akan menerima ilmu yang terhad jika tidak mempelajari bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa ilmu di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, keadaan yang sama akan berlaku jika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak diteruskan di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Beliau berkata, sumber-sumber mengenai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris terhasil begitu pantas dan masyarakat tidak mempunyai pilihan selain menggunakan bahasa itu untuk mendapatkan ilmu berkaitan kedua-dua bidang itu.

"Hari ini penyelidikan dan kertas kajian dalam bidang-bidang itu dihasilkan dengan begitu pantas dan kita sudah tiada masa untuk menterjemahkannya kalau tidak kita akan ketinggalan.

"Satu pilihan untuk kita tidak ditinggalkan adalah menggunakan sumber sedia ada walaupun ia dalam bahasa Inggeris. Oleh itu kita perlu memahirkan diri kita mendalami bahasa itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Program Bahasa Inggeris dan Asia: Persidangan Antarabangsa Pertama Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, memberi penekanan terhadap mendalami bahasa Inggeris tidak bermakna masyarakat terpaksa meminggir atau melupakan bahasa Melayu.

"Apabila kita menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di negara ini, tidak bermakna kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi patriotik atau hilang kerakyatan kita.

"Adalah tidak adil kepada generasi kita untuk menyekat mereka daripada menuntut bahasa Inggeris apabila kita sendiri sudah berjaya menuntut dan mendalaminya sebelum mereka," katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi PPSMI.

"Saya nak buat macam mana lagi, saya bukan berkuasa lagi. Saya sudah pertahankan (PPSMI) sebelum ini," katanya

Dr Awang Sariyan : PPSMI (Utusan Malaysia 26 Nov 2008)

'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'

PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing