Thursday, November 27, 2008

Perunding kewangan adil.

Bagaimanakah penasihat kewangan dapat membantu pengguna membuat keputusan yang betul sebelum menandatangan perjanjian
MEMBELI rumah melibatkan satu keputusan yang besar. Ia boleh mengubah kehidupan seseorang, terutama dari sudut tanggungjawab kewangan, sosial dan status.
Seringkali, proses mencari dan memilih pakej pembiayaan yang tepat menjadi suatu yang cukup memenatkan.
Pembeli rumah perlu mengetahui bahawa terdapat banyak tafsiran berbeza tentang pelbagai pakej pinjaman perumahan yang terdapat di pasaran. Kurang pemahaman dalam bidang ini boleh membawa padah.
Keputusan yang tepat dapat menjimatkan ribuan ringgit. Sebaliknya jika tersilap langkah pembeli mungkin terjebak dalam kekangan kewangan yang panjang dan memeritkan sebelum dapat memiliki rumah yang dimahukan.
Pembeli perlu membuat tinjauan dan perbandingan ke atas produk pinjaman yang terdapat di pasaran sebelum memilih institusi pembiaya.
Mendapatkan penyelesaian yang menepati setiap keperluan bukanlah satu proses yang mudah.
Dengan beraneka istilah dan singkatan daripada lebih 500 pakej yang ditawarkan oleh lebih 30 pemberi pinjaman, seorang yang bijak mengendalikan wang juga mungkin keliru.
Bagi orang kebanyakan yang tiada atau kurang pengetahuan mendalam tentang teknik dan selok-belok kewangan, menentukan yang terbaik antara timbunan maklumat yang dikumpulkan merupakan tugas yang mencabar.
Sebenarnya, ramai di antara kita yang akan menyambut baik khidmat nasihat mereka yang arif sebelum menandatangani dokumen perjanjian jual beli rumah.
Bantuan berada di hujung jari
Perkhidmatan sedemikian boleh didapati dengan mudahnya. Diperbadankan pada 16 Oktober 2002, Capital Tree Sdn. Bhd. (Money3) menyediakan maklumat terkini mengenai semua pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini.
"Pinjaman perumahan adalah komitmen kewangan yang boleh mengubah sepenuhnya kedudukan kewangan seseorang. Beban pinjaman perumahan akan menentukan bagaimana seseorang harus mengurus kewangan peribadi seterusnya," kata Rakan Kongsi Kanan Money3, Martin Chow kepada Bernama.
Menurut Chow, peminjam biasanya hanya mengambil kira kedudukan kewangan semasa.
Realitinya, tiada kedudukan kewangan yang kekal selamanya. Sehubungan itu, sesuatu keputusan kewangan yang penting perlu dibuat berdasarkan pertimbangan jangka sederhana dan jangka panjang. Ini bagi mengelakkan peminjam tidak dibebani masalah kewangan pada masa akan datang.
Pada masa sekarang, selagi amaun pembayaran balik bulanan tidak melebihi sejumlah peratus pendapatan bulanan yang ditentukan oleh pemberi pinjaman, kebanyakan orang akan gembira menerima pinjaman yang ditawarkan.
"Acap kali peminjam tidak mengambil kira hal-hal luar jangka seperti kenaikan kadar pinjaman asas (BLR) pada masa hadapan, gangguan aliran tunai disebabkan situasi kecemasan yang tidak diduga atau kemungkinan hilang pekerjaan.
"Dalam kebanyakan kes, ramai yang tidak mengambil kira akan kesan pinjaman perumahan terhadap keupayaan mereka menabung bagi perbelanjaan masa depan seperti pendidikan anak-anak dan keperluan asasi seperti perubatan dan pembedahan," kata Chow.
Hakikatnya, perubahan yang kecil sekalipun akan memberi kesan yang ketara dalam lingkaran kehidupan seseorang.
Setiap orang perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan menyediakan pilihan penyelesaian yang praktikal.
Analisis bebas dan tidak memihak
Money3 adalah pakar dalam mencipta perisian komputer dan program kewangan sebagai alat untuk menganalisis pakej kewangan dan pinjaman serta perkhidmatan mengikut suasana ekonomi tempatan.Laman web Money3 di www.money3.com.my menyediakan saluran kepada pengguna untuk memohon pinjaman perumahan di samping menyediakan maklumat yang diperlukan secara percuma.
Laman web ini yang dikemas kini secara berkala, menyediakan maklumat yang bebas dan tepat. Ia seperti alat seperti mesin pengira untuk kemudahan pelanggan membuat kiraan dan membuat keputusan dalam memilih pakej yang terbaik mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Program Carian Pinjaman bertingkat dalam talian Money3 membolehkan pengguna menentukan apa yang dicari dalam pakej pinjaman perumahan.
Apabila semua butir-butir telah dimasukkan, sistem itu akan menapis setiap pakej pinjaman perumahan yang terdapat di negara ini. Mereka akan mengeluarkan analisis bebas dan tidak berat sebelah ke atas sepuluh pemberi pinjaman terpilih, berdasarkan butiran maklumat yang diberikan pengguna.
"Para perunding kami yang berpengalaman juga boleh memberi khidmat rundingan menerusi telefon atau secara bersemuka untuk merungkai keperluan pengguna bagi mendapatkan pilihan yang memenuhi kehendak, pada masa yang sama tidak menipiskan poket mereka," kata Chow.
Money3 bekerjasama erat dengan beberapa bank tempatan dan luar negara berhubung hal-hal pembangunan produk, kewujudan rangkaian jualan serta pengagihan dan sumber luar.
"Kami sedia maklum bahawa apabila lebih ramai orang menyedari keperluan memahirkan diri dalam perancangan kewangan peribadi, mereka akan menjadi pengguna yang lebih berkualiti.
Seterusnya, kecenderungan ke arah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) juga akan berkurangan.
Kesepakatan dan kerjasama yang bermakna ini telah menghasilkan satu pertukaran idea yang membuka ruang untuk pembangunan perisian kewangan progresif yang akan disertakan ke laman web Money3.
Liabiliti, dengan sedikit kepintaran, boleh diubah menjadi aset. Sebaliknya, aset jika dibiar menjadi buruk dan tidak diperbaiki boleh menjadi liabiliti.
Dalam
dunia kewangan peribadi yang sentiasa berubah, setiap pengguna berhak untuk mendapat perunding kewangan yang berpengetahuan, bersedia membantu dan tidak lokek memberi lebih nasihat.

No comments: