Saturday, March 21, 2009

Penyakit buah pinggang kronik (CKD)

Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Serdang, Dr. Goh Bak Leong berkata, manusia mempunyai dua buah pinggang yang terletak di belakang abdomen bersebelahan antara saraf tunjang dan di bahagian bawah rusuk. Saiz kedua-dua buah pinggang adalah sebesar genggaman orang dewasa.

Lebih kurang lima liter darah mengalir di dalam badan seseorang. Buah pinggang berfungsi menapis dan membersihkan jumlah darah tersebut sebanyak 40 kali sehari. Ini bermakna sebanyak 200 liter sehari atau jika dibuat perbandingan bersamaan 200 botol atau 20 baldi.

''Ia juga berperanan untuk mengimbangi bahan-bahan kimia seperti sodium, fosforus dan potasium di dalam badan kita, selain menghasilkan hormon yang memberi rangsangan ke atas sum-sum tulang untuk membentuk sel darah merah, mengimbangi tekanan darah dan mengekalkan kesihatan tulang yang baik.

''Jika sekiranya buah pinggang kita mulai hilang kebolehan untuk berfungsi secara berterusan, maka perlu dirujuk sebagai penyakit buah pinggang kronik (CKD). Ia merupakan sejenis penyakit yang menyerang secara senyap dan ramai yang menjadi mangsa tanpa disedari.

''Sekiranya penyakit CKD melarat, ia akan membawa kepada kegagalan buah pinggang. Untuk meneruskan hidup, seseorang yang mengalami kegagalan buah pinggang perlu menerima pemindahan buah pinggang ataupun hemodialisis yang mana mesin mengambil peranan buah pinggang bagi membersihkan darah selama tiga kali seminggu,'' katanya ketika berucap di Pelancaran Hari Buah Pinggang Sedunia di Putrajaya, baru-baru ini.

Pada masa-masa akan datang, negara-negara maju juga tidak lagi mampu menampung teknologi seperti ini memandangkan kos yang meningkat.

''Justeru itu, adalah lebih dinasihatkan orang ramai untuk membuat saringan kesihatan untuk pengesanan. Ini kerana, penyakit buah pinggang kronik mudah dan boleh dikesan pada peringkat awal. Pengesanannya mudah dan murah iaitu ujian air kencing, darah dan tekanan darah yang boleh menunjukkan tanda-tanda awal masalah buah pinggang,'' ujarnya.

Sehubungan itu, sempena Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan yang dilancarkan pada 12 Mac lalu oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pelbagai acara diadakan bagi meningkatkan kesedaran tentang peranan utama buah pinggang dan menyebarkan maklumat mengenai bahaya penyakit CKD yang boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

Bertempat di hadapan Hospital Serdang, sebuah bas yang bertindak sebagai Unit Pemeriksaan Bergerak NKF Life Check disediakan bagi membolehkan orang ramai membuat pengesanan awal dan seterusnya mencegah penyakit buah pinggang.

Pengurus Pendidikan Awam, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Sharleen Lee berkata, lebih daripada 24,000 rakyat Malaysia telah melakukan pemeriksaan semenjak perkhidmatan ini dilancarkan pada bulan Januari tahun lalu.

Tanda dan gejala CKD

l Ketidakselesaan atau rasa membakar semasa membuang air kecil.

l Darah keluar bersama-sama air kencing.

l Perubahan kekerapan membuang air kencing.

l Sakit belakang.

l Membuang air kecil dengan kerap pada waktu tengah malam.

l Bengkak pada pergelangan kaki.

l Sembap di keliling mata yang berlarutan terutamanya pada sebelah pagi.

Langkah-langkah pencegahan

l Mengambil ubat-ubatan bagi mengurangkan protein dalam kencing dan melindungi buah pinggang.

l Mengawal tekanan darah.

l Mengawal gula dan kolestrol di dalam darah.

l Berhenti merokok.

l Bersenam.

l Mengawal berat badan

No comments: