Friday, March 20, 2009

Tiga jam RM10 - Artikel Kosmo

Kosmo Article :

Jika memandu kenderaan dari Kuala Lumpur ke Ipoh atau sebaliknya anda perlu berbelanja tidak kurang daripada RM50. Dengan perkhidmatan KTMB, kosnya cuma RM10.

SEORANG penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengenakan I-Pod kelihatan tenang ketika sedang menanti kereta api bertolak ke Ipoh, Perak. Dia begitu bersahaja ketika memasuki gerabak.

Tatkala dihampiri, Sutha Jayakumar, 28, yang bekerja di salah sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak mengakui, selepas KTMB memperkenalkan perkhidmatan tren ulang-alik dari Kuala Lumpur (KL) ke Ipoh sejak Disember lalu, dia kini lebih mudah mengatur perancangan perjalanan hariannya.

"Kini, jadual kerja saya sangat terancang. Saya tidak perlu bergegas untuk menaiki bas yang kadangkala bergerak awal dan kadangkala terlalu lambat sehingga mengganggu tugas saya.

"Lagi pun, saya lebih relaks dan tenang menaiki tren," katanya ketika ditemui pada pukul 8.50 pagi hanya kira-kira 10 minit lagi tren itu akan memulakan perjalanan dari KL ke Ipoh.

Akuinya, KTMB mengalami revolusi mengagumkan apabila berjaya menarik kepercayaan orang ramai untuk kembali menggunakan perkhidmatannya tanpa perlu berfikir dua kali berbanding pada era 70-an hingga 80-an

Perjalanan pertama untuk laluan KL-Ipoh setiap hari dari KL Sentral adalah pada pukul 5.30 pagi manakala perjalanan terakhir pada pukul 9.45 malam. Sementara itu, jadual dari Ipoh ke KL pula bermula dari pukul 8.30 pagi dan terakhir pukul 9.45 malam.

Terdapat 12 destinasi yang disinggahi untuk mengambil dan menurunkan penumpang, antaranya ialah Kepong Sentral, Sungai Buloh, Kuala Kubu Baru, Tanjung Malim, Slim River, Sungkai, Tapah Road, Kampar dan Batu Gajah.

"Purata penumpang bagi satu-satu perjalanan mencecah 100 orang dan bilangannya bertambah pada waktu hujung minggu," kata Shariza.

Seorang petugas di Istana Budaya, Mohd. Fitri Huri, 22, berkata, perkhidmatan itu menjadi alternatif terbaik dalam usaha melancarkan aliran trafik di ibu kota dan lebuh raya.

"Jika lebih banyak kenderaan awam disediakan dan bergerak dengan efisien, saya fikir lebih ramai orang akan meninggalkan kenderaan mereka seketika untuk pergi ke destinasi sejauh ini," katanya.

Mohd. Fitri menambah, sejak tahun lalu, dia sentiasa memilih keretapi ekspres itu meskipun sekadar berjumpa dengan rakan-rakannya di Ipoh.

Mohd. Fisol Ismail, 52, pula mengakui berlaku penjimatan hampir 70 peratus daripada bajet bulanannya.

"Saya menjalankan perniagaan industri kecil dan sederhana di beberapa kawasan di Perak, jadi saya sering berulang-alik dari ibu kota ke Ipoh.

"Perkhidmatan tren ini melegakan saya kerana dalam seminggu, saya terpaksa berulang-alik lebih kurang empat hingga lima kali ke Ipoh," katanya.

Selain itu, KTMB turut menyediakan alternatif untuk tempahan tiket secara talian bagi mengelak anda terpaksa beratur panjang.

Anda boleh menempah tiket secara talian dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ke talian 32435 dengan menaip KTMB> atau hubungi 03-7727 6311.

No comments: