Tuesday, December 30, 2008

Projektor Terkecil


PROJEKTOR terkecil di dunia yang dikeluarkan oleh Optoma model PK101 telah dipamerkan dalam pameran komputer di Pusat dagangan Dunia di Taipei, Taiwan.

Dengan berat hanya 80 gram, serta saiz pemancaran sehingga 66 inci, ia juga dilengkapi dengan pembesar suara.

Friday, December 5, 2008

Warisi umur panjang

MENURUT satu kajian terbaru, mereka yang hidup sehingga usia 100 tahun mungkin mempunyai 'gen baik' yang diturunkan kepada anak-anak mereka.

Kajian yang melibatkan lebih 600 golongan warga emas di Amerika Syarikat (AS) mendapati individu yang hidup sehingga mencecah usia 100 tahun, anak-anak mereka juga berpotensi untuk mempunyai jangka hayat yang sama atau lebih panjang.

Tetapi mereka lebih berkecenderungan untuk menghidap diabetes atau serangan jantung mahupun strok dalam masa lebih empat tahun.

Sumber: Reuters Health

Keburukan lemak tepu

SATU kajian baru-baru ini menunjukkan diet yang kaya dengan lemak tepu meningkatkan risiko kanser dalam usus kecil.

Usus kecil terdiri daripada 75 peratus sistem pencernaan manusia, namun amat jarang penyakit kanser ditemui di situ.

Kanser usus biasanya berlaku di usus besar atau kolon.

Sumber: Reuters Health

Gemuk


LAPORAN para penyelidik dalam American Journal of Epidemiology menyatakan wanita yang mempunyai berat badan yang tinggi semasa pertengahan usia mereka berada pada risiko yang lebih besar menghidap penyakit Alzheimer.Keadaan itu lebih tinggi sekiranya jika mereka mempunyai ukur lilit pinggang yang besar.

Sungguhpun demikian, bagi lelaki kurang berat semasa usia yang sama sebenarnya meningkatkan lagi kemungkinan pembentukan penyakit degeneratif otak.

Selain itu, perubahan dalam berat badan turut mempunyai kesan yang berbeza terhadap risiko pembentukan penyakit Alzheimer di kalangan wanita dan lelaki.

Sumber: American Journal of Epidemiology

Bawang Putih


UBAT yang berasaskan bawang putih boleh merawat penyakit diabetes jenis 1 dan 2 apabila ia diambil sebagai tablet.BAWANG putih mengandungi sejenis bahan allaxin yang baik untuk merawat diabetes.engandungi allaxin, sejenis campuran yang ditemui dalam bawang putih, dengan vanadium iaitu kesan mineral, dadah jenis itu dikembangkan oleh sekumpulan penyelidik di Jepun. Kedua-dua bahan itu telah digunakan sebagai ubat pelengkap untuk menstabilkan kandungan gula dalam darah.

Dalam penyelidikan sebelum ini, Hiromu Sakurai dari Universiti Sains Perubatan di Jepun dan rakan-rakannya telah menemui bahawa allaxin-vanadium amalgam merendahkan paras glukosa dalam darah apabila ia disuntik di dalam tubuh tikus yang mempunyai penyakit diabetes jenis 1 dan 2.

Manakala kajian terbaru yang disiarkan dalam Jurnal Royal Society of Chemistry 'Metallomics' menunjukkan bahawa tablet juga turut berkesan dalam mengurangkan paras gula dalam darah untuk kedua-dua jenis penyakit diabetes tersebut.

Sumber: Jurnal Royal Society of Chemistry

Resepi 1


Thursday, December 4, 2008

Tomato(Lycopersicon esculetum)



ADA yang gemar menikmatinya mentah, bagaikan sebiji epal. Ada pula merasakan si comel merah ini lebih enak sebagai kuah spagheti dan ada sesetengah orang pula tidak boleh memisahkannya tatkala sepotong ayam goreng.

Walau apa juga cara anda mengambil diet ini, tanpa anda sedar anda sedang memberikan tubuh anda sumber makanan yang kaya dengan khasiat kesihatan.

Dengan nama saintifiknya, Lycopersicon esculetum, tomato merupakah sayuran yang sangat popular dalam sajian makanan Itali.

Kecantikan kulit

Salah satu khasiat yang begitu sinonim dengan tomato ialah manfaatnya untuk melicinkan kulit dan mendapatkan kulit wajah yang bersih dan tegang. Malah, terdapat kajian yang menyatakan makanan yang dimasak dengan diet tomato yang tinggi mempunyai keupayaan untuk merawat kerosakan kulit akibat ultra lembayung serta melambatkan kesan penuaan.

Kajian itu dijalankan oleh Universiti Newcastle dan Universiti Manchester serta telah disiarkan oleh British Society for Investigation Dermatology. Buah tomato mampu memberi kesan yang baik kepada kulit kerana ia sebenarnya adalah sumber vitamin A, vitamin C dan vitamin E (jika dimakan mentah).
Selain itu, ia juga mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potasium, kalsium dan mineral garam.

Adakah stereotaip sebagai awet muda untuk kulit wajah satu-satunya keistimewaan tomato? Jawapannya tentulah tidak, kerana tomato menawarkan lebih daripada itu.

Sumber likopena

Pigmen merah yang terdapat pada kulit tomato mengandungi sejenis bahan yang dipanggil likopena. Ia adalah rahsia yang membuat tomato sangat luar biasa. Bahan ini mempunyai pelbagai kebaikan khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.

Selain kebaikan antioksida yang berfungsi menjauhkan seseorang daripada serangan kanser kerana melawan radikal bebas dalam tubuh, likopena juga baik untuk mengurangkan risiko jantung. Ini kerana likopena dikenal pasti dalam membantu merendahkan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat).

Hasil kajian menunjukkan likopena dalam tomato boleh diserap lebih efisien oleh tubuh jika diproses dalam bentuk jus, sos, pes atau sos tomato.

Rendahkan risiko prostat

Bagaimanapun, satu lagi penemuan terkini yang mula ditemui sejak tahun 1998 dan disokong dengan pelbagai kajian ialah khasiat tomato untuk kaum lelaki.

Satu kajian terbaru di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan, likopena adalah sahabat lelaki kerana mengurangkan risiko kanser prostat dalam kalangan kaum Adam.

Dalam kajian tersebut, amalan memakan 10 biji tomato seminggu boleh mengurangkan risiko lelaki diserang kanser prostat sehingga 35 peratus.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Fakulti Perubatan Harvard, kajian dari tahun 1986 hingga tahun 1992 yang melibatkan 47,894 lelaki, sebanyak empat jenis makanan dikaitkan dengan lelaki yang kurang risiko diserang kanser prostat.

Profesor Edward Giovanucci memberitahu, empat makanan tersebut ialah spageti, piza, tomato dan strawberi. Tiga daripada empat makanan yang disenaraikan itu jelas Giovanucci mempunyai bahan berasaskan tomato.

Jelas Giovanucci, kajian itu turut disokong dengan penyelidikan yang mendapati, kanser prostat dilaporkan sangat rendah di negara selatan Mediterranean seperti Itali dan Greece kerana pengambilan jumlah tomato yang tinggi dalam kalangan kaum lelaki di sana.

Penyelidikan menyarankan pengambilan 30 miligram likopena setiap hari adalah mencukupi untuk menjamin kesihatan yang lebih baik. Satu perempat cawan sos tomato menawarkan sehingga 9.3 miligram likopena manakala setengah cawan kuah mi spagheti memberikan sehingga 20 miligram likopena.

Mandi Air Sejuk

LUPAKAN dahulu tentang rasa menggigil atau keinginan untuk mandi dengan selesa di bawah pancuran air hangat. Mengikut petua orang-orang tua dan kini disokong pula oleh banyak kajian klinikal, mereka yang sedang sakit tekak, demam selesema, sakit kepala ataupun batuk, disyorkan agar membiasakan diri dengan amalan mandi air sejuk pada awal pagi.

Air sejuk bertindak ‘mengejutkan’ sistem imunisasi seterusnya mengaktifkan penghasilan hormon untuk keperluan tubuh secara keseluruhan. Ini bermakna, hormon tersebut dapat membantu mengawal keadaan normal tubuh daripada simptom-simptom dan kesan akibat penyakit tertentu.

Secara teorinya, tubuh manusia memberi reaksi pada kesan penyejukan dengan mengumpulkan semua darah yang panas ke bahagian teras badan untuk menghimpunkan khasiat sekali gus melindungi organ-organ penting.

Ketika itulah hormon dihasilkan dan kemudian disebarkan semula ke seluruh bahagian tubuh apabila salur darah yang sejuk mencairkan darah bagi memudahkan peredaran hingga ke lapisan kulit.

Dalam kajian yang dijalankan di Thrombosis Research Institute, Hospital Brompton di London mendapati bahawa amalan mandi air sejuk boleh meninggalkan kesan yang dramatik termasuk memperbaiki penghasilan hormon seks yang membantu memulih tenaga lelaki dan kesuburan wanita.

Selain itu, ia juga boleh memberi tenaga kepada mereka yang mengalami sindrom letih yang teruk, mengurangkan kes serangan jantung dan strok (kerana ia melancarkan peredaran darah), serta meningkatkan paras sel darah putih.

Buah Bali

Rahsia memilih buah yang manis ialah dengan merasa bahagian kulitnya. Sekiranya ia licin, itu tandanya isinya berwarna merah dan manis rasanya.Gred buah limau bermula daripada 3A, 2A, B, C, D dan E. Gred 3A adalah paling baik, saiznya besar manakala isinya cukup manis.

Glasier ais di Marikh

SEBUAH kawasan glasier ais yang dilindungi runtuhan batu. Itulah yang ditemui oleh kapal angkasa penyiasat Marikh NASA, Mars Reconnaissance Orbiter pada latitud yang lebih rendah dari planet Marikh.

Ia nyata satu kawasan ais yang berada pada tahap latitud yang lebih rendah berbanding yang pernah dikenal pasti sebelum ini di planet merah itu.

Saintis telah menganalisis data mengenai penemuan itu yang diperoleh menerusi radar kapal angkasa yang boleh menembusi tanah itu dan melaporkannya dalam jurnal Science, pada 21 November lalu

Fizik air mata

BANYAK yang boleh berubah dengan hanya satu kerlipan mata. Bahkan, seluruh lapisan permukaan mata anda berubah setiap kali anda mengerlip mata.

Dalam kira-kira suku saat, cecair mata merembes mata. Ia akan menyapu permukaan lalu meninggalkan lapisan baru yang nipis, sementara selebihnya dialirkan. Walaupun sistem ini mungkin kedengaran mudah, secara fizik, ia agak rumit. Saintis kini menggunakan model komputer matematik untuk cuba memahami bagaimana cecair bergerak di dalam mata dan menjadi air mata.

"Alasan mengapa kami berminat untuk mengkaji ini ialah kerana ia merupakan sistem yang sangat dinamik," kata Kara Maki pengkaji dari University of Delaware, Amerika Syarikat. "Jika kita boleh memahami dan memperoleh intipati mengenai filem air mata dinamik, kita mungkin boleh mengetahui rawatan yang lebih baik untuk mata yang kering.

Maki dan penasihatnya, Richard Braun, baru-baru ini telah menggunakan model komputer dan menemukan bahawa air mata boleh berada di tengah mata, tidak hanya sekadar bergenang di kelopak mata, seperti tanggapan terdahulu kebanyakan pakar.

Lapisan permukaan mata kebanyakannya diperbuat daripada air serta berguna untuk memelihara mata daripada debu dan bahan cemar dalam udara. Biasanya, filem ini tersimpan pada paras yang stabil secara relatif, dengan cecair air mata yang baru ditumpahkan dari kelenjar pada kelopak mata berdekatan dengan pelipis mata, sementara cecair yang berlebihan mengalir ke dalam hidung. Apabila kita mengerlip mata, lapisan ini kembali terisi.

"Setiap kali anda mengerlip mata, ia seperti berus lukisan yang menggerakkan cecair ini ke sekitar lalu membentuk lapisan cecair seperti salutan cat pada dinding," kata Braun kepada LiveScience.

Tetapi, apabila kita berasa sangat sedih, sejuk atau menghiris bawang, sebagai contoh, terlalu banyak cecair akan membanjiri mata bagi menangani tekanan permukaan dan menitis keluar dalam bentuk titisan air mata. Kebanyakan pakar menjangka, air mata ini kekal berada di tepi mata di mana filem air matanya lebih tebal.

Dengan membina sebuah model yang mengambil kira tentang efek kelikatan, tekanan permukaan dan graviti, pengkaji mendapati sesetengah air mata kurang bergerak dan ada yang bergerak menerusi bahagian tengah mata.

"Kebanyakan orang fikir perkara ini berkaitan dengan halangan, yang mana air mata tidak dapat melintasi pertengahan mata," kata Braun.

Beliau juga mendapati jika terdapat cecair yang mencukupi di mata, air mata boleh melintasi bahagian tengah mata, berbanding hanya menetap di tepi mata. Ia sesuatu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Penemuan tersebut kelihatan selari dengan observasi dari Kolej Optometri Ohio State University mengenai seorang lelaki yang membiarkan matanya dibuka selama enam minit. Bagaimanapun, pengkaji mahu menjalankan lebih banyak uji kaji untuk mengesahkan penemuan mereka

HP Photosmart C6388

HP Photosmart C6388

Pencetak keluaran HP ini merupakan pencetak tiga dalam satu yang pertama yang dilengkapkan dengan ciri wayarles. Pengguna di pejabat mahupun di rumah yang mempunyai rangkaian tanpa wayar atau WiFi akan boleh terus melakukan cetakan secara wayarles. Model pencetak lain yang turut dilengkapi dengan keupayaan ini ialah C4580 dan C5380, kesemuanya merupakan pencetak pelbagai fungsi (cetak, salin dan faks). Selain menggunakan sambungan 802.11, ia juga mempunyai pilihan Bluetooth. Melalui sambungan Bluetooth, pengguna boleh mencetak terus dari telefon bimbit mereka

Thursday, November 27, 2008

Perunding kewangan adil.

Bagaimanakah penasihat kewangan dapat membantu pengguna membuat keputusan yang betul sebelum menandatangan perjanjian
MEMBELI rumah melibatkan satu keputusan yang besar. Ia boleh mengubah kehidupan seseorang, terutama dari sudut tanggungjawab kewangan, sosial dan status.
Seringkali, proses mencari dan memilih pakej pembiayaan yang tepat menjadi suatu yang cukup memenatkan.
Pembeli rumah perlu mengetahui bahawa terdapat banyak tafsiran berbeza tentang pelbagai pakej pinjaman perumahan yang terdapat di pasaran. Kurang pemahaman dalam bidang ini boleh membawa padah.
Keputusan yang tepat dapat menjimatkan ribuan ringgit. Sebaliknya jika tersilap langkah pembeli mungkin terjebak dalam kekangan kewangan yang panjang dan memeritkan sebelum dapat memiliki rumah yang dimahukan.
Pembeli perlu membuat tinjauan dan perbandingan ke atas produk pinjaman yang terdapat di pasaran sebelum memilih institusi pembiaya.
Mendapatkan penyelesaian yang menepati setiap keperluan bukanlah satu proses yang mudah.
Dengan beraneka istilah dan singkatan daripada lebih 500 pakej yang ditawarkan oleh lebih 30 pemberi pinjaman, seorang yang bijak mengendalikan wang juga mungkin keliru.
Bagi orang kebanyakan yang tiada atau kurang pengetahuan mendalam tentang teknik dan selok-belok kewangan, menentukan yang terbaik antara timbunan maklumat yang dikumpulkan merupakan tugas yang mencabar.
Sebenarnya, ramai di antara kita yang akan menyambut baik khidmat nasihat mereka yang arif sebelum menandatangani dokumen perjanjian jual beli rumah.
Bantuan berada di hujung jari
Perkhidmatan sedemikian boleh didapati dengan mudahnya. Diperbadankan pada 16 Oktober 2002, Capital Tree Sdn. Bhd. (Money3) menyediakan maklumat terkini mengenai semua pakej pinjaman perumahan yang ditawarkan oleh institusi-institusi kewangan di negara ini.
"Pinjaman perumahan adalah komitmen kewangan yang boleh mengubah sepenuhnya kedudukan kewangan seseorang. Beban pinjaman perumahan akan menentukan bagaimana seseorang harus mengurus kewangan peribadi seterusnya," kata Rakan Kongsi Kanan Money3, Martin Chow kepada Bernama.
Menurut Chow, peminjam biasanya hanya mengambil kira kedudukan kewangan semasa.
Realitinya, tiada kedudukan kewangan yang kekal selamanya. Sehubungan itu, sesuatu keputusan kewangan yang penting perlu dibuat berdasarkan pertimbangan jangka sederhana dan jangka panjang. Ini bagi mengelakkan peminjam tidak dibebani masalah kewangan pada masa akan datang.
Pada masa sekarang, selagi amaun pembayaran balik bulanan tidak melebihi sejumlah peratus pendapatan bulanan yang ditentukan oleh pemberi pinjaman, kebanyakan orang akan gembira menerima pinjaman yang ditawarkan.
"Acap kali peminjam tidak mengambil kira hal-hal luar jangka seperti kenaikan kadar pinjaman asas (BLR) pada masa hadapan, gangguan aliran tunai disebabkan situasi kecemasan yang tidak diduga atau kemungkinan hilang pekerjaan.
"Dalam kebanyakan kes, ramai yang tidak mengambil kira akan kesan pinjaman perumahan terhadap keupayaan mereka menabung bagi perbelanjaan masa depan seperti pendidikan anak-anak dan keperluan asasi seperti perubatan dan pembedahan," kata Chow.
Hakikatnya, perubahan yang kecil sekalipun akan memberi kesan yang ketara dalam lingkaran kehidupan seseorang.
Setiap orang perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan menyediakan pilihan penyelesaian yang praktikal.
Analisis bebas dan tidak memihak
Money3 adalah pakar dalam mencipta perisian komputer dan program kewangan sebagai alat untuk menganalisis pakej kewangan dan pinjaman serta perkhidmatan mengikut suasana ekonomi tempatan.Laman web Money3 di www.money3.com.my menyediakan saluran kepada pengguna untuk memohon pinjaman perumahan di samping menyediakan maklumat yang diperlukan secara percuma.
Laman web ini yang dikemas kini secara berkala, menyediakan maklumat yang bebas dan tepat. Ia seperti alat seperti mesin pengira untuk kemudahan pelanggan membuat kiraan dan membuat keputusan dalam memilih pakej yang terbaik mengikut keperluan dan kemampuan masing-masing.
Program Carian Pinjaman bertingkat dalam talian Money3 membolehkan pengguna menentukan apa yang dicari dalam pakej pinjaman perumahan.
Apabila semua butir-butir telah dimasukkan, sistem itu akan menapis setiap pakej pinjaman perumahan yang terdapat di negara ini. Mereka akan mengeluarkan analisis bebas dan tidak berat sebelah ke atas sepuluh pemberi pinjaman terpilih, berdasarkan butiran maklumat yang diberikan pengguna.
"Para perunding kami yang berpengalaman juga boleh memberi khidmat rundingan menerusi telefon atau secara bersemuka untuk merungkai keperluan pengguna bagi mendapatkan pilihan yang memenuhi kehendak, pada masa yang sama tidak menipiskan poket mereka," kata Chow.
Money3 bekerjasama erat dengan beberapa bank tempatan dan luar negara berhubung hal-hal pembangunan produk, kewujudan rangkaian jualan serta pengagihan dan sumber luar.
"Kami sedia maklum bahawa apabila lebih ramai orang menyedari keperluan memahirkan diri dalam perancangan kewangan peribadi, mereka akan menjadi pengguna yang lebih berkualiti.
Seterusnya, kecenderungan ke arah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) juga akan berkurangan.
Kesepakatan dan kerjasama yang bermakna ini telah menghasilkan satu pertukaran idea yang membuka ruang untuk pembangunan perisian kewangan progresif yang akan disertakan ke laman web Money3.
Liabiliti, dengan sedikit kepintaran, boleh diubah menjadi aset. Sebaliknya, aset jika dibiar menjadi buruk dan tidak diperbaiki boleh menjadi liabiliti.
Dalam
dunia kewangan peribadi yang sentiasa berubah, setiap pengguna berhak untuk mendapat perunding kewangan yang berpengetahuan, bersedia membantu dan tidak lokek memberi lebih nasihat.

Menentang Karbon Dioksida

AHLI-AHLI dari pertubuhan dunia Greenpeace melakukan demonstrasi menentang pengeluaran karbon dioksida, baru-baru ini. Mereka melakukan demonstrasi di hadapan menara penyejukan loji tenaga arang batu Staudinger di Grosskrotzenburg, Jerman yang terletak 30 kilometer dari Frankfurt.Karbon dioksida merupakan antara penyumbang utama kepada fenomena pemanasan global. Mengurangkan pengeluarannya boleh menangani masalah ini

Harga Melambung


Laptop BenQ

BENQ baru-baru ini menampilkan siri netbook pertamanya, Joybook Lite U101, yang dibangunkan bagi menepati keperluan generasi Internet. Hanya memiliki berat 1.1 kilogram, ia didatangkan dengan skrin penjimatan tenaga LED 10.1 inci.

Dengan kapasiti storan 160 Gigabait, papan kekuncinya lebih besar dan mesra pengguna dengan jangka hayat bateri lebih lama.

Istimewa juga, Joybook Lite U101 turut menampilkan corak plat muka ikon emosi di bahagian pelindung IMR bebas calarnya. Komputer netbook itu juga memiliki aksesori yang menepati gaya dan keperluan pengguna Internet bagi membolehkannya untuk dibawa ke mana saja.

Dengan berkonsepkan rekaan asas ikon-ikon emosi universal yang nampak lucu, ia adalah berteraskan pemahaman BenQ terhadap kekerapan generasi Internet menggunakan suntikan ikon emosi dalam menyokong komunikasi berasaskan teks. Ia bertujuan untuk menyerlahkan perasaan dan perbuatan bukan verbal secara lebih berkesan.

Rekaan luaran Joybook Lite U101 ini juga seakan memberi gambaran bahawa pemiliknya mempunyai cita rasa yang sukakan keseronokan!

Joybook Lite U101 adalah netbook pertama di pasaran yang mengetengahkan skrin penjimatan tenaga LED 10.1 inci, pada nisbah kelebaran 16:9. Dengan speaker binaan dalaman 1.5W dan kamera web 1.3 megapiksel, Joybook Lite U101 menawarkan generasi Internet dengan kepuasan multimedia memberangsangkan.

Ia boleh dipercayai dan tahan lama menerusi keupayaannya menampung tekanan berat sehingga 50 kilogram dan tahan lasak walaupun dijatuhkan pada ketinggian 76 sentimeter. Ia juga turut dilengkapi dengan prosesor Intel® Atom, Bluetooth 2.0, pembaca kad empat dalam satu dan GUI peribadi (turut didatangkan dengan netbook berasaskan platform Linux).

Joybook Lite U101 yang didatangkan dalam empat warna: hitam, biru, putih dan merah jambu itu ditawarkan pada harga RM1,799

Awas Kunci WiFi Anda!! Anda mungkin terpaksa bertanggungjawab atas jenayah yang dilakukan orang lain. Bahana pencerobohan WiFi


RANGKAIAN wayarles atau lebih popular dengan panggilan WiFi bukanlah suatu yang asing di negara kita.
Setelah lebih 12 tahun Internet diperkenalkan di Malaysia, bilangan pengguna rangkaian yang menggunakan frekuensi radio ini semakin bertambah.
Jika dahulu, WiFi hanya terhad kepada pengguna komersil seperti kafe eksklusif dan organisasi, kini ramai pengguna memasangnya di rumah bagi memudahkan mereka melungsuri Internet.
Namun masih ramai pengguna yang tidak melindungi rangkaian mereka dengan ciri keselamatan yang terdapat pada AP atau Access Point. Ini menyebabkan rangkaian tanpa wayar mereka terdedah kepada penjenayah siber - penipu, lanun siber dan pencuri maklumat.
Pernahkah anda terfikir, rangkaian anda yang tidak dikunci boleh digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti seperti menghantar emel ugutan, mencuri kata laluan perbankan dalam talian, menulis blog berunsur subversif serta menggodam laman web organisasi tertentu?
Lebih menakutkan lagi, jika pihak berkuasa mengesan alamat IP capaian Internet anda sebagai punca aktiviti jenayah yang dilakukan, menyebabkan anda menjadi 'pak sanggup' di atas kesalahan orang lain.
Ya!, anda berhadapan dengan risiko ini sekalipun tujuan tidak mengaktifkan ciri sekuriti pada rangkaian anda ialah bertujuan untuk berkongsi akses Internet dengan jiran-jiran anda. Ramai juga yang tidak melindungi rangkaian mereka kerana kekurangan pengetahuan teknikal.
Golongan tidak bertanggungjawab ini lazimnya akan menumpang rangkaian wayarles yang tidak dilindungi - secara automatik membolehkan mereka menyamar seolah-olah pengguna sah pemilik sesuatu rangkaian itu.
Ia tidak ubah seperti mencuri talian telefon, cuma bezanya pemilik tidak akan perasan kerana kebanyakan pengguna rangkaian ini merupakan pelanggan jalur lebar tanpa had.
Malah, catatan pada bil bulanan tidak menunjukkan sebarang penggunaan yang luar biasa.

Nokia 8800

NOKIA melangkah setapak lagi dalam perkembangan dimensi penghasilan telefon bimbit apabila memperkenalkan rekaan premium model terbarunya, Nokia 8800 Carbon Arte.

Selain mengetengahkan prestasi tanpa kompromi, model tersebut dibangunkan dengan rekaan eksklusif melalui kejuruteraan berasaskan gabungan material tulen seperti gentian karbon, titanium, kaca dan juga besi tahan karat.

Penggunaan gentian karbon yang sangat ringan dan kukuh dalam pembangunannya jelas memberi ekspresi rekaan yang kemas dan berteknologi tinggi selain mengetengahkan corak tiga dimensi.

Berinspirasikan penggunaan material tersebut dalam bidang seni bina, kereta lumba dan angkasa lepas, Nokia 8800 menawarkan implementasi rasa dalam bentuk ton yang unik, tekstur dan juga penghasilan ukiran.

Bagi mengekalkan fungsi tradisional dan meningkatkan nilai kualiti pada telefon bimbit berkenaan, setiap sudut reka bentuknya dihasilkan dengan penuh teliti dan terperinci.

Antara sudut yang dititikberatkan adalah seperti permukaannya, mekanisme gelongsor, berat dan juga ciri-ciri seni seperti runut bunyi dan wallpaper eksklusif.

Menerusinya, pengguna juga boleh menyentuh permukaan besi di bawah skrin paparan telefon bimbit berkenaan untuk membolehkan jam dipamerkan selain berlaku pertukaran imej secara automatik di siang hari.

Dari segi aplikasi pula, Nokia 8800 dilengkapi dengan fungsi 3G, kamera fokus automatik 3.2 megapiksel, audio berkualiti tinggi, sambungan USB mikro semua dalam satu serta memori binaan dalam sehingga empat gigabait(GB).

Apa yang menarik, permukaannya disaluti dengan lapisan anti cap jari untuk mengelakkan sebarang kotoran melekat pada bahagian metal ataupun gelas.

Bagi memberi pengalaman yang lebih menyeronokkan, ia turut menawarkan aksesori tambahan eksklusif seperti set kepala Bluetooth dengan kawalan suara sentuhan sensitif, alat sokongan meja bergaya, dan juga bekas kulit yang menarik.

Nokia 8800 kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga pengenalan RM5,688

Terapi Untuk Kanak-Kanak

PENDEKATAN berkonsepkan terapi minda, jiwa dan jati diri adalah modul program terbaru yang diketengahkan Annabella House of Therapy (AHT) dengan kerjasama Creative Resource Management (CRM). Ia sebagai usaha dalam membantu para pelajar supaya mencapai lebih kecemerlangan dalam pelajaran.
Menerusinya, pelajar dapat mengenali kelemahan diri dan minda kerana program ini akan menyelongkar serta memperbaiki aura negatif individu menerusi teknik yang digunakan.
Pengarah urusan AHT, Shamsilawati Abd. Rahman berkata, pendekatan unik yang digunakan ini bertujuan memberi peluang pelajar mengenali kelemahan diri serta belajar cara-cara bagaimana mengatasinya untuk lebih fokus mencipta kejayaan.
Menurutnya, gabungan minda, jiwa dan motivasi disatukan bagi mewujudkan impak positif bukan saja bagi tujuan peningkatan akademik namun kualiti kehidupan seharian.
“Keunikan program ini ialah ia menggabungkan beberapa elemen yang bukan saja boleh membantu seseorang itu mengetahui aspek kelemahannya malah memperbaiki kekurangan itu ke arah yang lebih baik.
Pelajar juga boleh menilai potensi diri sendiri kerana akan didedahkan dengan suasana positif minda, emosi, fizikal dan jiwa. Ia bukan sahaja memberi penekanan terhadap satu aspek tapi keseluruhan dengan sasaran utama memperbaiki pencapaian diri dan membina kecemerlangan,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya di Kajang, Selangor, baru-baru ini.
Selain itu, katanya, program ini juga mewujudkan rasa fokus pada pelajaran dan kehidupan serta melihatnya dalam konteks yang lebih luas untuk masa depan.
Program ini akan menjadikan diri pelajar lebih luas untuk masa depan. Program ini akan menjadikan diri pelajar lebih hebat kerana berupaya meningkatkan keyakinan diri, mencipta kreativiti, memperbaiki komunikasi serta meningkatkan semangat juang yang tinggi.
Program dua hari satu malam ini akan diadakan pada awal Disember depan dan penyertaan terhad kepada 100 peserta sahaja.
Pelajar juga berpeluang berkongsi masalah dengan tenaga pengajar berpengalaman menerusi luahan terapi berbentuk lukisan dan lakaran.
Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut boleh menghubungi talian 03-87361031 atau 019-2191202.

Wednesday, November 26, 2008

Papan Hitam Elektronik

PENDIDIKAN zaman dahulu memerlukan guru menggunakan kapur dan papan hitam sebagai medium untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar-pelajarnya.

Teknik tersebut mengalami pembaharuan apabila papan putih dan pen marker diperkenalkan sebagai pendekatan pengajaran yang lebih moden dan mudah.

Namun, pernahkah anda membayangkan bahawa papan hitam yang pernah digunakan dahulu, kini mampu berfungsi untuk tujuan lebih dari sekadar menulis.

‘Papan hitam’ yang dimaksudkan adalah sebuah skrin interaktif yang menawarkan gabungan pelbagai aplikasi seperti tulisan, visual dan juga bunyi.

Kemajuan tersebut telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat penyelesaian teknologi pendidikan, E-One Technology Sdn. Bhd.

Dengan skrin luas bersaiz 36, 42, 48, 56 dan 65 inci, ia boleh digunakan untuk paparan secara menegak atau pun melintang kepada audiens seramai lebih kurang 40 orang.

Selain didatangkan dengan skrin beresolusi tinggi, aplikasi skrin sentuh pada produk tersebut juga membolehkan pengguna mencapai fail atau mengakses sambungan Internet hanya melalui sentuhan mudah.

Untuk menulis atau memasukkan input pula, pengguna perlu menggerakkan jari pada permukaan skrin dan menyentuh hanya satu butang untuk memadamnya.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Johnson Lew, produk yang mudah dikendalikan ini mampu menggantikan fungsi projektor yang sering kali mengalami masalah seperti kurang cahaya atau mempunyai bayangan pada tulisan.

‘‘Selain digunakan untuk tujuan pendidikan, ia juga boleh diimplementasikan di pejabat-pejabat untuk sesi taklimat atau mesyuarat,’’ katanya pada Pameran dan Persidangan MyBroadband 2008 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan menggunakan perisian Accupresenter, skrin unik itu juga dilengkapi dengan kamera web yang dapat merakam sesi pengajaran ketika di dalam kelas.

Kandungan video tersebut kemudiannya boleh dimuat naik ke pelayan internet untuk rujukan para pelajar.

Apa yang menarik, skrin berkenaan menawarkan paparan yang jelas tanpa gangguan sebarang pantulan serta permukaannya bersifat tidak mudah calar dan tahan lasak.

Selain aplikasi multimedia, skrin tersebut turut dilengkapi dengan beberapa perisian asas untuk kemudahan pendidikan seperti Microsoft Office.

Produk yang dibangunkan di Taiwan ini bakal dipasarkan pada harga permulaan RM20,000.

Dr M : PPSMI (Utusan Malaysia 26 Nov 2008)

Ilmu terhad jika tidak dalami bahasa Inggeris - Dr. M

KUALA LUMPUR 25 Nov. - Rakyat Malaysia dikhuatiri hanya akan menerima ilmu yang terhad jika tidak mempelajari bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa ilmu di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, keadaan yang sama akan berlaku jika pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak diteruskan di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

Beliau berkata, sumber-sumber mengenai sains dan matematik dalam bahasa Inggeris terhasil begitu pantas dan masyarakat tidak mempunyai pilihan selain menggunakan bahasa itu untuk mendapatkan ilmu berkaitan kedua-dua bidang itu.

"Hari ini penyelidikan dan kertas kajian dalam bidang-bidang itu dihasilkan dengan begitu pantas dan kita sudah tiada masa untuk menterjemahkannya kalau tidak kita akan ketinggalan.

"Satu pilihan untuk kita tidak ditinggalkan adalah menggunakan sumber sedia ada walaupun ia dalam bahasa Inggeris. Oleh itu kita perlu memahirkan diri kita mendalami bahasa itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Program Bahasa Inggeris dan Asia: Persidangan Antarabangsa Pertama Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Dr. Mahathir berkata, memberi penekanan terhadap mendalami bahasa Inggeris tidak bermakna masyarakat terpaksa meminggir atau melupakan bahasa Melayu.

"Apabila kita menerima bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu di negara ini, tidak bermakna kita sebagai rakyat Malaysia tidak lagi patriotik atau hilang kerakyatan kita.

"Adalah tidak adil kepada generasi kita untuk menyekat mereka daripada menuntut bahasa Inggeris apabila kita sendiri sudah berjaya menuntut dan mendalaminya sebelum mereka," katanya.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir berkata, beliau tiada kuasa untuk menghalang sekiranya kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan lagi PPSMI.

"Saya nak buat macam mana lagi, saya bukan berkuasa lagi. Saya sudah pertahankan (PPSMI) sebelum ini," katanya

Dr Awang Sariyan : PPSMI (Utusan Malaysia 26 Nov 2008)

'Bahasa sumber ilmu bukan masalah besar'

PANDANGAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Wacana Dilema Melayu anjuran Gapena baru-baru ini bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) patut diteruskan tidaklah memeranjatkan.

Ini kerana beliaulah pencetus, pemutus dan pelaksananya. Dr. Mahathir masih dengan dengan sikap biasanya yang tidak sesekali berubah atau berpatah balik apabila telah membuat keputusan.

Isunya ialah bahawa hujah Dr. Mahathir merupakan hujah yang tergelincir daripada hakikatnya. Dalam laporan Bernama, beliau mengatakan bahawa PPSMI penting agar anak-anak Melayu menguasai Sains dan Matematik dan sekali gus meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Ketika beliau membuat keputusan untuk melaksanakan PPSMI, tiada kajian yang dibuat yang menunjukkan bahawa kelemahan penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar Melayu (jika benar anak-anak Melayu begitu lemah dalam kedua-dua subjek itu) disebabkan oleh pengajarannya dalam bahasa Melayu. Kita malah sebenarnya telah melahirkan ribuan sarjana dalam bidang sains dan teknologi yang berwibawa dan bertaraf antarabangsa melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu.

Adakah Dr. Mahathir bermaksud bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan sejak merdeka merupakan dasar negara yang silap? Jika benar, adakah kesilapan itu patut diatasi dengan suatu keputusan yang bersifat ad hoc, dengan membuat keputusan pada tahun 2002 dan terus melaksanakannya pada tahun 2003?

Dr. Mahathir menekankan bahawa bahasa Inggeris patut dijadikan bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahan ilmu kedua-dua bidang itu banyak tertulis atau terbit dalam bahasa Inggeris. Fakta itu tidak cukup kuat untuk kerajaan mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar Sains dan Matematik kerana bahasa Inggeris itu sendiri asalnya hanya bahasa vernakular, bukan bahasa yang diturunkan dari langit sedia sempurna. Sebelum bahasa Inggeris menjadi bahasa besar, orang Eropah bergantung pada bahasa Latin dan bahasa Perancis dalam bidang ilmu, pentadbiran, undang-undang dan ekonomi.

Demikianlah maka bahasa Melayu perlu diberi waktu untuk menjadi mantap semula sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam bidang sains dan teknologi. Amat malang halnya apabila kita sendiri tidak mempunyai perancangan dan kesediaan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi, dan cukup sekadar puas hati menyaksikan bahasa Melayu menjadi bahasa percakapan, seperti yang dibanggakan oleh Dr. Mahathir tentang kebolehannya menggunakan bahasa Melayu walaupun belajar di sekolah Inggeris.

Membezakan

Kita perlu membezakan taraf bahasa ilmu daripada bahasa perhubungan sehari-hari jika kita mengimpikan bahasa Melayu menjadi bahasa besar pada masa hadapan. Tentulah aib bagi bangsa Melayu yang berhasrat menjadi bangsa besar di dunia tetapi hanya memiliki bahasa perhubungan sehari-hari dan untuk hal ehwal ilmu dan budaya tinggi terpaksa menggunakan bahasa asing.

Hujah Dr. Mahathir bahawa bangsa Arab menjadi maju kerana mempelajari bahasa Greek untuk menguasai sains dan teknologi juga ternyata meleset. Mempelajari bahasa asing dan menggunakan bahasa asing untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat atau bangsa merupakan dua hal yang sama sekali berbeda. Maka itu tidak ada pejuang bahasa manapun yang menolak hakikat pentingnya kita mempelajari dan menguasai bahasa asing sebagai jambatan ilmu dan tamadun. Namun, PPSMI bukan program pembelajaran bahasa asing, sebaliknya program pengembangan ilmu kepada bangsa kita dalam bahasa asing!

Pada hakikatnya, orang Arab yang mempelajari dan menguasai bahasa Greek ialah para sarjananya, sementara ilmu kepada masyarakat dan bangsanya dikembangkan dalam bahasa Arab.

Memindahkan ilmu

Hal yang sama dilakukan oleh bangsa-bangsa Barat yang memperoleh pelbagai disiplin ilmu daripada sarjana Arab. Mereka mempelajari dan menguasai bahasa Arab untuk memindahkan ilmu dalam bahasa Arab ke dalam bahasa mereka sendiri. Oleh itu bangsa Barat tidak menggunakan bahasa Arab untuk mengembangkan ilmu kepada bangsa mereka, tetapi sebaliknya menggunakan bahasa mereka sendiri. Itulah hakikat jalan sejarah perkembangan tamadun di dunia. Seluruh bangsa dan negara yang besar dan maju di dunia sekarang ini pun masih tetap memajukan bangsa dan negara mereka dalam bahasa masing-masing. Angkasawan kita yang ditumpangkan dalam Soyuz Rusia pun terpaksa beberapa bulan mempelajari bahasa Rusia untuk mengikuti misi ke angkasa lepas. Kekuatan bahasa Inggerisnya rupa-rupanya belum cukup melayakkan dia untuk diterima mengikuti misi tersebut!

Dr. Mahathir turut menggunakan contoh yang silap apabila mengatakan bahawa buku panduan atau manual telefon bersel yang dicetak dalam bahasa Inggeris oleh pengeluar menyebabkan ilmu sains yang diajarkan dalam bahasa Melayu menjadi tidak berguna. Bukankah buku panduan itu dapat diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, atau pelajar kita yang diajar dengan baik bahasa Inggerisnya dapat memahami buku panduan dalam bahasa Inggeris itu. Mungkin Dr. Mahathir belum pernah melihat adanya telefon bersel yang panduannya ditulis dalam bahasa Melayu pada perisian telefon itu sendiri! Pokoknya, apabila sesuatu bangsa berilmu, bahasa sumber ilmu itu bukanlah masalah yang besar.

Sebagaimana pendukung PPSMI yang lain, Dr. Mahathir mengulang lagu lama bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik bukan langkah meminggirkan bahasa Melayu. Namun, dengan terang di hadapan mata kita bahawa apabila bahasa Melayu akan hanya berfungsi pada sekitar 40 peratus atau kurang di sekolah dan sekitar 30 peratus atau kurang di IPT, maka amat jelas bahawa bahasa Melayu memang terpinggir dan tidak berperanan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara, sebagaimana yang ditetapkan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.

Pada hemat saya, manfaatkanlah pepatah kita yang berbunyi "Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan". Kita belum pun sesat sehingga di hujung jalan, maka tidaklah sulit untuk kembali ke pangkal jalan, iaitu melaksanakan semua program pembangunan negara dengan berlandaskan dasar-dasar negara yang telah difikirkan, dirancang dan dilaksanakan dengan jayanya selama ini. Usahlah kita mengalami nasib "Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran". Ingatlah juga kata orang tua-tua "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".

PROF. DR. AWANG SARIYAN
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia - China
Universiti Pengajian Asing Beijing

Monday, June 16, 2008

Rencana Utusan 1


Hari Bapa 15/06/2008 bukan sekadar hadiah


APA ada pada Hari Bapa jika kita menyambutnya sekadar membawa bapa makan besar di hotel lima bintang atau menghadiahkan mereka barangan berjenama tanpa menjiwai erti sebenar kedudukan dan peranan bapa dalam konteks keperluan masyarakat dan negara kita hari ini?
Dalam masa yang sama, sejauh mana pula 'hadiah' atau sumbangan golongan bapa terhadap keluarga, masyarakat dan negaranya?
Adakah makin robohnya dinding moral dan akhlak anak-anak sekarang; kurangnya kesedaran sivik rakyat walaupun galak mahu muncul sebagai bangsa maju di dunia; tipisnya semangat nasionalisme warga serta sikap pasif rakyat kita dalam berhadapan dengan pelbagai perkara yang mencabar haknya - semuanya berkait rapat dengan kegagalan golongan bapa di Malaysia menjalankan tanggungjawab sebenar mereka?
Walhal, sejarah telah membuktikan kegemilangan tamadun-tamadun awal dunia serta kebangkitan mengumpul kekuatan tenaga dan akal membina negara bangsa datangnya daripada pengorbanan golongan bapa.
Usaha memerangi kuasa penjajah Barat serta ancaman komunis di tanah air ini, gerakan Sumpah Pemuda 1928 seterusnya kemerdekaan di Indonesia pada 1945 serta tertegaknya Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949 adalah antara contoh betapa besarnya jasa, tanggungjawab dan peranan bapa yang jauh melangkaui sempadan keluarga sendiri sahaja.
Oleh itu, angkatan bapa kita kini perlu bermuhasabah diri menilai semula sejauh mana peranan mereka terhadap keluarga, masyarakat dan satu-satunya tanah tumpah darah kita ini dalam era yang jauh berbeza berbanding dahulu.
Sebagai tapak kestabilan bangsa Malaysia, institusi keluarga harus diberi perhatian terlebih dahulu agar setiap orang anak yang dibesarkan memberi manfaat mengikut kebolehannya bukannya penambah beban kepada masyarakat kita kelak.
Malangnya, ramai golongan bapa hari ini menyerahkan tugas mendidik anak kepada para ibu atau pihak sekolah dengan terlalu memanjakan anak sehingga anak 'naik lemak'.
Sepatutnya, rasa sayang bersulamkan ketegasan dalam mendidik anak perlu diamalkan dengan anak-anak lelaki diajar agar lebih bertanggungjawab dan berpandangan jauh, manakala anak- anak perempuan pula diasuh supaya berfikir sebelum bertindak.
Ini perlu agar tidaklah nanti mereka hanya tahu membuang masa, berlumba motor, menagih dadah, melahirkan anak luar nikah atau menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Selain memenuhi keperluan asasi keluarga, golongan bapa di negara ini harus lebih berani berada di barisan hadapan dengan kritikal menyuarakan hak dan kepentingan masyarakatnya.
Mereka juga adalah ejen utama sosialisasi nilai akauntabiliti dan jati diri patriotisme kepada keluarga dan bangsa. Jika tidak, tentu tidak wujud gelaran Bapa Kemerdekaan, Bapa Pembangunan, Bapa Perpaduan dan Bapa Kemajuan seperti yang diberi kepada para mantan Perdana Menteri kita.
Persoalannya, wajarkah golongan bapa hari ini diberi penghargaan melangit sempena Hari Bapa jika hanya tahu memenuhkan restoran mamak hingga lewat malam sambil bersorak menonton siaran Euro 2008 tanpa mengambil peduli pelbagai cabaran dan resah gelisah yang sedang dan akan menimpa keluarga, masyarakat dan negaranya?

Monday, June 2, 2008

Sunday, June 1, 2008

Thursday, May 29, 2008

Sindrom Stress

Selalu migrain
Susah bangun tidur
Tengkuk selalu sakit dan lenguh

Rambut kusut masai
Berasa diri tersepit
Berat badan naik mendadak
Berfikiran sempit
Selalu menguap

MUDRA Menambah Tenaga



Kaedah Ransangan Sistem Badan



33 Kunci Kejayaan Yang Perlu Ada Di Setiap Pelajar



Sajak Guru

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Wednesday, May 28, 2008

The Secret To Enjoy Life

..is to be thankful for what each day bring.....
May be Allah wants us to meet a few wrong person before meeting the right one so that when we finally meet the right person, we will know how to be grateful for that gift. When the door of happiness closes,another opens but often time we look so long at the closed door that we don't see the one which has been opened for us. It's true that we don't know what we've got until we lose it,but it's also true that we've don't know what we've been missing until it arrives. Giving someone all ur love is never an assurance that they'll love u back! Don't expect love in return; just wait for them to grow in their heart but if it doesn't,be content that it grew in yours. It takes only a minutes to get crush on someone, an hour to like someone and a day to love someone, but it takes a lifetime to forget someone. Don't go for look they can deceive. Don't go for wealth even that fades away. Go for someone who makes u smile because it takes only a smile to make a dark seems bright. Find the one who can makes ur heart smile. The best kind of friend is the kind u can sit on a porch and swing with, never say a word and then walk away feeling that is the best conversation you've ever had. There a moments in life when u miss someone so much that u just want to pick them from ur dreams and hug them for real. Dream what u want to dream, go where u want to go, be what u want to be, because u have only one chance to do all the things u want to do. May u have enough happiness to make u sweet, enough trials to make u strong,enough sorrow to make u human and enough hope to make u happy. Always put urself in others shoes. If u feel that it hurts u, it probably hurts other person too. The happiest people don't necessarily have the best of everything; they just make the most of everything that's come along their way. Happiness lies for those who cry, does who hurt, those who have searched and those who have tried ; for only they can appreaciate the importance of people who have touch their lives. The brightest future will always based on a forgotten past. U can't go well in life until u let go of ur past failures and heartaches. When u're born, u're crying and everyone around u was smiling. Live ur life so that when u die, you're the one who is smiling and everyone around u is crying.

Monday, April 28, 2008

Guru...

To teach is to touch lives forever...So much of our future is left in so few of our teachers. Therefore make sure we are not mediocre/pedestrian, but the brightest to best